Jurulatih Zagreb letak jawatan

Jurulatih Zagreb letak jawatan

ZAGREB, 20 Sept – Bekas jurulatih kebangsaan Croatia Zlatko Kranjcar meletak jawatan sebagai jurulatih Dynamo Zagreb, lewat semalam susulan kekalahan ketiga berturut-turut yang dicatatkan juara Liga Croatia itu.

Kranjcar yang juga bekas pemain bintang kelab itu dan hanya mula mengendalikan kelab itu kurang tiga bulan mengumumkan peletakan jawatannya sejurus kekalahan 5-2 kepada Rijeka.

Ia adalah kekalahan ketiga berturut-turut oleh kelab itu mengikuti kekalahan 0-1 kepada Osijek di laman sendiri dan tewas 0-3 kepada kelab Perancis, Lyon pada kempen Liga Juara-Juara.

“Ia jelas sesuatu yang tidak menyenangkan apabila tewas tiga kali berturut-turut,” kata Kranjcar dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di laman web kelab itu. “Saya tidak boleh gembira dengan keputusan terbaru ini dan logik untuk pergi sekarang.”

Bekas pemain berusia 59 tahun itu mengambil alih tugas sebagai pengurus di Dynamo Zagreb buat kali ketiga pada pertengahan Jun lalu bagi menggantikan seorang lagi bekas pemain kebangsaan, Zora Amic.

Kranjcar muncul penjaring gol terbanyak kelab itu pada era lewat 1970-an sehingga 1984 sebelum menyertai kelab Rapid Vienna.

Dia kembali sebagai pengurus dan mengemudi kelab itu menjulang kejuaraan berganda sebanyak dua kali pada 1996 dan 1998 dan menjadi jurulatih skuad kebangsaan pada 2004 hingga 2006. – AFP