Jururawat bantu IS, berdepan tangkapan

Jururawat bantu IS, berdepan tangkapan

SYDNEY, 24 Julai – Seorang jururawat lelaki warga Australia yang dikatakan telah memberikan bantuan perubatan kepada militan-militan Kumpulan Islamic State (IS) yang bertempur di Syria mungkin berdepan penangkapan kerana menyalahi undang-undang keselamatan berat yang baru, apabila dia mendarat di Sydney hari ini, menurut polis dan para pegawai.

Australia dalam langkah berjaga-jaga terhadap serangan oleh orang Islam radikal, termasuklah militan tempatan yang pulang daripada berjuang di Timur Tengah, setelah menaikkan tahap ancamannya kepada ‘tinggi’ dan melancarkan siri-siri serbuan yang ditonjolkan, di bandar-bandar.

Warga Australia itu yang dikenal pasti oleh Menteri Luar Julie Bishop sebagai jururawat kelahiran Melbourne, Adam Brookman, pulang ke tanah air dengan sukarela selepas berunding dengan kerajaan, menurut Polis Persekutuan Australia (AFP).

Brookman tidak didakwa dengan sebarang jenayah, menurut polis, tetapi siasatan yang boleh membawa kepada dia berdepan tempoh hukuman penjara hingga sedekad, jika didapati bersalah dalam tindakan ke atas fahaman radikal yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Tony Abbott.

“Jika terdapat bukti warga Australia telah melakukan kesalahan jenayah di bawah undang-undang Australia sementara terlibat dalam konflik di Syria dan Iraq, mereka akan didakwa dan dibicarakan di mahkamah,” seorang jurucakap AFP berkata dalam satu kenyataan.

Penganalisis keselamatan telah meletakkan bilangan pejuang asing di Iraq dan Syria, dalam beribu-ribu, yang telah membuat perjalanan dari beberapa buah negara di seluruh dunia.

Abbott memberitahu parlimen kira-kira 70 orang warga Australia terlibat dalam pertempuran di Iraq dan Syria, dibantu oleh kira-kira 100 orang pemudah cara di Australia.

Abbott telah mendapat kuasa keselamatan baru dalam beberapa tahun kebelakangan, meluaskan kemampuan pengintipan tempatan dan mencadangkan melucutkan kewarganegaraan dari mereka yang mempunyai dua kewarganegaraan yang dituduh terlibat dalam perlakuan militan ganas.

Brookman, ayah kepada lima orang anak, memberitahu Fairfax Media, Australia bahawa dia telah pergi ke Syria dalam misi kemanusiaan dan dipaksa menyertai kumpulan militan selepas tercedera.

Menurutnya dia telah melarikan diri ke Turki selepas menyaksikan kekejaman. – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA