Jururawat bertemu semula

Jururawat bertemu semula

Oleh Anwar Rosly

Gambar oleh Haji Japar

Kuala Belait, 30 Dis – Sekumpulan 20 orang jururawat dari pengambilan ke-37 dan 38, semalam, telah mengadakan pertemuan semula bagi mengenang semula pengalaman pahit-manis semasa berada di Kolej Kejururawatan, Universiti Brunei Darussalam.

Dalam pertemuan yang diadakan di Restoran Aneka Rasa, Kiulap itu, mereka yang sebahagiannya meneruskan karier dalam bidang kejururawatan dan bidang lain turut berpeluang bertukar-tukar pengalaman mengenai kehidupan mereka kini setelah 30 tahun menamatkan pengajian.

Salah seorang yang hadir, Hajah Rosni binti Ibrahim, yang merupakan jururawat di Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait berkata, pertemuan semula ini memang sudah lama dirancang dan ketibaan hari istimewa tersebut membuatkan mereka semua mengenang kembali kisah-kisah dahulu.

Gambar ramai rakan-rakan jururawat pengambilan ke-37 dan 38 semasa pertemuan semula.
Gambar ramai rakan-rakan jururawat pengambilan ke-37 dan 38 semasa pertemuan semula.

“Walaupun lama sudah berpisah dan ada yang jarang bertemu sesama sendiri, namun apabila kami berjumpa semula kesemua kami tidak berasa janggal mahupun lupa akan kawan kami sendiri dan itulah rasanya bagi saya sesuatu yang dapat dibanggakan oleh kami semua kerana itu menandakan betapa rapatnya kami semua semasa melanjutkan pendidikan kami di kolej kejururawatan itu,” katanya.

Majlis dimulakan dengan bacaan tahlil untuk memperingati kawan-kawan seperjuangan mereka yang telah meninggal dunia.

Di samping menikmati jamuan, mereka yang hadir memeriahkan acara dengan sesi berkaraoke dan cabutan bertuah.

“Majlis pertemuan semula ini tidak dapat dilupakan buat kami semua dan kami merancang untuk mengadakan perjumpaan lain lagi pada tahun hadapan,” kata Hajah Rosni. Tanda penghargaan juga diberikan kepada salah seorang rakan mereka yang hadir, Haji Ahmad bin Johari kerana diingati sebagai salah seorang penghibur kelas semasa pengajian dahulu.

“Bagi kami semua, Haji Ahmad adalah seorang yang sentiasa ceria dan selalu membuat kami terhibur hati, membuat kami semua ketawa dan kami gembira melihat beliau masih mengekalkan sifat-sifat itu,” menurut Hajah Rosni.

ARTIKEL YANG SAMA