Jururawat didakwa sokong keganasan

Jururawat didakwa sokong keganasan

MELBOURNE, 26 Julai (Reuters) – Seorang jururawat Australia didakwa hari ini atas kesalahan pengganasan kerana dipercayai membantu kumpulan militan Islamic State (IS) yang bertempur di Syria, ketika hadir di mahkamah hari ini, menurut polis.

Jururawat itu yang dikenal pasti identitinya sebagai Adam Brookman, 39 tahun, diberkas di Sydney tidak lama selepas dia kembali dari Syria melalui Turki pada malam Jumaat lalu.

Dia telah dipindahkan untuk muncul di mahkamah di Melbourne, bandar kedua terbesar Australia, atas permintaan pasukan khas anti keganasan berpangkalan di sana.

“Dipercayai bahawa lelaki itu, ketika berada di Syria, telah memberikan bantuan kepada pertubuhan pengganas dikenali sebagai Islamic State,” menurut Polis Persekutuan Australia (AFP) dalam satu kenyataan.

Sydney Morning Herald melaporkan dakwaan itu boleh membawa kepada hukuman penjara maksimum 25 tahun.

Dakwaan juga termasuklah ‘memberi perkhidmatan dengan niat membantu seseorang untuk terlibat dalam kegiatan perseteruan di negara luar,” menurut anggota AFP lagi.

Brookman, ayah kepada lima orang anak memberitahu media Australia dia telah pergi ke Syria atas misi kemanusiaan dan telah dipaksa menyertai kumpulan militan itu selepas dia mengalami kecederaan.

Australia dalam langkah berjaga-jaga bagi serangan oleh orang Islam radikal, termasuklah militan dalam negara yang pulang dari berjuang di Timur Tengah. Ia telah menaikkan tahap ancamannya kepada ‘tinggi’ dan melancarkan siri-siri serbuan yang begitu ditonjolkan, di bandar-bandar besar.

Perdana Menteri Tony Abbott berkata kira-kira 70 orang warga Australia berjuang di Iraq dan Syria, disokong oleh kira-kira 100 ‘pemudah cara’ yang berpangkalan di Australia.

Abbott telah mendapat siri-siri kuasa keselamatan baru dalam beberapa tahun kebelakangan, meluaskan kemampuan pengintipan dalam negara dan mencadangkan perlucutan kewarganegaraan dari tertuduh yang mempunyai dua kewarganegaraan yang dituduh melakukan tindakan ganas militan.

Brookman menyerah diri Isnin lalu kepada pegawai-pegawai di Turki, yang membantu merundingkan kepulangannya. Dia dijangka muncul di mahkamah Melbourne lagi pada Isnin.

Menurut polis ‘tidak ada bukti ancaman di Australia dalam perkara ini.”

ARTIKEL YANG SAMA