Jururawat perlu beri khidmat terbaik

Jururawat perlu beri khidmat terbaik

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAM, 31 Julai – Jururawat dan bidan disarankan untuk sentiasa memberikan khidmat bakti kepada masyarakat yang memerlukan pemedulian dan perawatan tanpa mengira latar belakang, kepercayaan, sosioekonomi dan budaya.

Perkara ini ditekankan oleh Yang Di-Pertua Persatuan Jururawat Brunei Darussalam (PENJURU), Datin Paduka Hajah Suraya Noraidah binti Abdullah pada majlis PENJURU Berhari Raya Bersama Keluarga 2016 yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Dr Hazri bin Hjai Kifle dan isteri.

Dalam ucapannya pada majlis itu, Datin Paduka Hajah Suraya Noraidah seterusnya menekankan bahawa sebagai ahli profesion kejururawatan dan bidan dalam pelbagai bidang, pengalaman etika kerja yang berpegang kepada prinsip dan profesion kejururawatan yang berkaitan perlulah dipatuhi agar jururawat dan bidan dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat di mana saja mereka berada.

Dalam pada itu, beliau berkata, bagi memajukan lagi perkhidmatan perbidanan di negara ini, pada bulan Mac 2016 yang lalu, beliau telah membincangkan bagi kemasukan profesion perbidanan di Brunei agar ia diterima menjadi ahli kepada International Confederation of Midwives bagi tujuan untuk memantapkan dan meningkatkan lagi aspek penjagaan ibu-ibu dan anak-anak khususnya di Negara Brunei Darussalam.

Dr. Hazri dan isteri serta tetamu khas yang lain semasa Majlis PENJURU Berhari Raya Bersama Keluarga 2016 yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin.
Dr. Hazri dan isteri serta tetamu khas yang lain semasa Majlis PENJURU Berhari Raya Bersama Keluarga 2016 yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin.

Melalui Persatuan Jururawat Negara Brunei Darussalam, bahagian perbidanan juga telah diterima menjadi ahli kepada bidan dunia ini.

Menurutnya, ia merupakan satu perkembangan yang harus dibanggakan kerana untuk menjadi ahli kepada International Confederation of Midwives ini adalah berdasarkan kepada aspek pendidikan perbidanan, amalan dan pengiktirafan yang diiktiraf oleh badan dunia.

Kerjaya kejururawatan dan bidan saling berhubung rapat dengan keluarga dan masyarakat di samping kepercayaan kepada pemedulian yang diberikan dengan menumpukan pemberian perkhidmatan yang cemerlang kepada yang memerlukan.

PENJURU juga berkomitmen untuk memajukan perkembangan profesional mereka melalui peningkatan kemahiran dan pengetahuan dalam bidang tertentu, tambahnya.

Beliau seterusnya memaklumkan bahawa beberapa rangka kerja telah diatur oleh PENJURU untuk memenuhi kehendak peningkatan diri dan profesion kejururawatan melalui aktiviti-aktiviti yang dirancang sama ada di dalam mahupun luar negara.

Majlis PENJURU Berhari Raya ini bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim di samping beramah mesra dan memberikan penghargaan kepada semua jururawat dan bidan yang telah memberi sumbangan bakti, tenaga dan masa mereka.

ARTIKEL YANG SAMA