Jurusolek anjur bengkel kelas solekan

Jurusolek anjur bengkel kelas solekan

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 24 Jun – Atas permintaan kaum hawa yang sememangnya gemar akan kecantikan terutama dalam bab solekan, bengkel kelas solekan asas anjuran salah seorang jurusolek tempatan yang diminati ramai, Norisma Faris Makeover telah pun diadakan buat julung kalinya di Kampung Panchor Papan, Tutong.

Menurut pengasasnya, Dayang Norisma yang mempunyai pengalaman menjadi jurusolek selama 11 tahun itu, mula berjinak-jinak dalam bidang mengandam (jurusolek pengantin) pada 2012 tidak menyangka akan mempunyai peminat-peminatnya tersendiri dalam kalangan bakal pengantin dan kaum wanita yang sentiasa menempah khidmatnya untuk menjadi jurusolek mereka.

Dayang Norisma turut mengatakan bengkel itu juga diadakan sebagai pendedahan kepada kaum hawa bagaimana menggunakan alat-alat solek yang betul dan seterusnya membantu mereka tentang tatacara solekan yang sempurna dan persediaan awal dalam menghias diri sendiri dengan solekan terbaik sempena menjelangnya Hari Raya Aidilfitri nanti, malah ketika hendak menghadiri majlis tertentu.

Pada kelas solekan asas ini, Dayang Norisma hanya membukakan kepada lima orang peserta sahaja pada setiap sesi dan para peserta bengkel diberi masa tiga jam untuk mempelajarinya.

Dayang Norisma bersama para peserta bengkel yang menerima sijil penghargaan selepas selesai sesi solekan asas.
Dayang Norisma bersama para peserta bengkel yang menerima sijil penghargaan selepas selesai sesi solekan asas.

Katanya lagi, kelas solekan itu terpaksa dilakukan dalam jumlah yang terhad kerana dikhuatiri tidak dapat memberi perhatian kepada peserta yang banyak.

Dalam bengkel tersebut, beliau menyampaikan asas-asas solekan seperti cara mengaplikasikan alas bedak (foundation), cara melukis kening agar lebih kemas, mengetahui warna-warna yang sesuai bagi kulit terutama pada pembayang mata yang juga memainkan peranan ketika menghadiri majlis-majlis tertentu.

Semasa sesi demonstrasi solekan, para peserta juga menyertai sesi praktikal solekan sendiri dan diberikan sijil penghargaan selepas selesai kelas solekan tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA