Jurusolek kau...

Jurusolek kaum adam setanding kaum hawa

Oleh Haniq Raffael

 

KERJAYA sebagai seorang jurusolek atau Mak Andam sememangnya begitu sinonim dalam kalangan kaum Hawa sejak dari dulu lagi namun kini profesion yang dilakukan oleh kaum hawa itu kini turut dilakukan oleh kaum Adam cuma perbezaannya mereka lebih memfokuskan kepada kaum lelaki sahaja. Begitu juga halnya dengan belia tempatan yang turut menceburi bidang solekkan untuk kaum pengantin lelaki, Awang Muhd Rushamizan bin Haji Roslan, 25 tahun berasal dari Kampung Bukit Beruang, Daerah Tutong.

Awang Muhammad Rushamizan berkata beliau mula menceburkan diri dalam profesion juru hiasan lelaki atau lebih dikenali sebagai Pak Andam pada awal bulan Julai tahun lepas ketika berusia 24 tahun. Menurut Awang Rushamizan, sebelum ia melibatkan diri dalam bidang solekan sebagai Pak Andam, beliau turut mempelajari cara-cara untuk mengandam seperti cara solekan, teknik pemasangan  dastar, menapih sinjang dan sebagainya sebelum berkecimpung dalam bidang yang dilakukan sekarang semua ini dipelajari dari orang lama yang sudah profesion dalam bidang andaman dan hiasan serta solekan.

“Selain dari kelas Pak Andam, saya juga turut mengambil peluang untuk mengikuti kelas yang diadakan oleh makeup-makeup artis luar negara mahupun dalam negara dan ini adalah satu inisiatif saya untuk menjadi seorang pak andam yang terlatih agar teknik yang diperolehi akan dapat diaplikasikan kepada klien saya dengan betul serta sempurna juga semata-mata untuk memenuhi permintaan klien saya apa yang mereka kehendaki dalam menghias diri mereka”, tambahnya kepada penulis.

Selain itu, Awang Rushamizan juga menyertai beberapa kursus-kursus tatarias wajah dan juga hiasan yang dianjurkan oleh juruhias tempatan dan juga luar negeri yang juga turut terlibat dalam menghias para artis baik artis tempatan mahupun artis luar negara.

Sebagai seorang pak andam untuk kaum Adam, Awang Rushamizan menekankan bahawa kita hendaklah terlebih dahulu memperbanyakkan latihan dan menggali lebih banyak pengetahuan tentang andaman bahkan juga cara memasang hiasan untuk pengantin lelaki, semua ini penting kepada seorang yang bakal bergelar pak andam sebelum mereka terjun ke dunia realiti andaman. “Kita hendaklah tahu serba serbi tentang hiasan, solekan, pemasangan barang-barang hiasan untuk pengantin lelaki, pemasangan pakaian Brunei dan yang pastinya seorang pak andam itu juga mampu serta berkebolehan cara-cara menambat dastar dan berkebolehan memasang dastar untuk pengantin selain berkebolehan juga dalam tapihan sinjang mengikut tatacara yang betul”

Awang Rushamizan ketika memberikan solekan wajah  kepada pengantin lelaki.
Awang Rushamizan ketika memberikan solekan wajah kepada pengantin lelaki.
Awang Rushamizan ketika menghias pengantin lelaki.
Awang Rushamizan ketika menghias pengantin lelaki.

Perkhidmatan yang lain

“Selain menghias pengantin lelaki saya juga turut membuka perkhidmatan solekan untuk majlis nikah, pertunangan, makeup untuk satu-satu majlis, photoshoot dan sebagainya selain itu saya juga ada memberikan khidmat penyewaan aksesori pengantin seperti dastar, sinjang, rantai dan kerongsang dengan kadar harga yang murah dan berpatutan,” tambah Awang Rushamizan kepada penulis.

Bagi Awang Rushamizan, minat terhadap bidang ini sudah wujud sejak kecil lagi malah untuk menghalusi teknik dan cara solekan sudah menjadi satu hobi yang sering dipraktikkan dan lazimnya dilakukan kepada ahli keluarga terlebih dahulu namun bertugas sebagai seorang pak andam ini cuma kerja sampingan sahaja.

Menyentuh mengenai penggangun, Awang Rushamizan menjelaskan bahawa beliau mempunyai cita-cita untuk mempelajari lagi dengan lebih dalam bidang ini namun ketika ini, beliau hanya akan memfokuskan kepada tatarias khusus kaum lelaki.

“Khidmat berjaga-jaga harus diberikan kepada pengantin dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang tertentu dan surah pilihan yang dipelajari daripada nenek sendiri dan juga penaik seri pengantin agar kelihatan manis dan berseri-seri pada hari persandingannya. Semua ini saya pelajari daripada nenek agar tahu serba serbi tentang penjagaan pengantin, dan ini bukan hanya terhad kepada menghias pengantin tetapi juga penjagaan pengantin sebelum turun rumah menuju ke rumah pasangan pengantin,” tambah Awang Rushamizan kepada penulis.

Teliti saat memberikan khidmat menghias pengantin lelaki.
Teliti saat memberikan khidmat menghias pengantin lelaki.

Kenangan manis

“Kenangan manis yang pernah saya alami apabila keluarga pengantin berpuas hati dengan perkhidmatan yang saya berikan bahkan saya dilayan dengan baik sepanjang menjalankan tugasan di majlis tersebut apatah lagi apabila ahli keluarga tersebut memberikan bayaran yang lebih daripada keluarga berkenaan kerana merasa gembira melihat anak lelaki mereka yang saya hias kelihatan segak bersemangat ,” kata Awang Rushamizan.

“Ketika ini tugasan atau karier sebagai pak andam kian berkembang dan kian banyak kaum adam yang menceburkan diri dalam bidang pak andam untuk kaum adam dan ini menunjukkan bahawa kaum adam juga mampu memperlihatkan kebolehan mereka dalam tatarias setanding dengan kaum hawa,” tambahnya lagi.

Ketika ini, Awang Rushamizan sudah menerima lebih 30 perkhidmatan jurusolek dan ini menjadi pembakar semangat kepada diri beliau untuk terus maju dalam bidang tatarias.

Awang Rushamizan juga menjelaskan untuk menjadi seorang pak andam yang dikenali memang sukar kerana kita sendiri terpaksa berusaha gigih dan turut dibantu oleh rakan-rakan beliau yang banyak memberikan semangat serta tunjuk ajar memulakan perkhidmatan selain mendapat bantuan dengan diperkenalkan khidmat yang diberikan daripada keluarga pengantin kepada keluarga pengantin yang lainnya yang memerlukan khidmat seorang pak andam.

Selain itu, Awang Rushamizan juga turut menyediakan perkhidmatan penyewaan aksesori pengantin dengan bayaran yang berpatutan mengikut lokasi-lokasi yang tertentu.

“Untuk perancangan di masa hadapan saya akan terus berusaha untuk memperluaskan lagi khidmat saya dalam bidang pak andam dan seterusnya akan belajar lebih mendalam lagi tentang tatarias dan hiasan kepada pengantin,” kata Awang Rushamizan mengakhiri temu bual bersama penulis.