Juruteknik rogol anak tiri dipenjara 20 tahun, 10 sebatan

Juruteknik rogol anak tiri dipenjara 20 tahun, 10 sebatan

KUALA LUMPUR, 21 Okt – Tindakan seorang bapa mengikat tangan anak tiri sebelum merogolnya secara ganas menerima padah apabila dia dihukum penjara 20 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim Datin M. Kunasundary menjatuhkan hukuman tersebut selepas lelaki berusia 32 tahun itu mengaku bersalah merogol remaja perempuan berusia 14 tahun di rumahnya di Setapak Jaya di sini, antara Mac 2014 hingga 9 Oktober lepas.

Tertuduh, yang bekerja sebagai juruteknik, didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan disebat tidak kurang daripada 10 kali sebatan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 14 Oktober lepas.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Kunasundary berkata kelakuan tertuduh itu menjijikkan dan tidak berperikemanusiaan kerana sebagai bapa, tertuduh sepatutnya melindungi mangsa.

Mengikut fakta kes, tertuduh mengikat tangan mangsa, memukul dengan wayar dan menampar sebelum merogolnya beberapa kali sejak Mac tahun lepas hingga menyebabkan anak tirinya melarikan diri dari rumah pada 13 Oktober lepas dan membuat laporan polis.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Tan Sew Ping memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat kerana kesalahan serius selain mangsa trauma dengan kejadian itu.

Peguam Datin M. Navamani, yang mewakili tertuduh, memohon hukuman ringan atas alasan dia merupakan penanggung tunggal keluarga berkenaan, menyesal atas perbuatannya dan bersedia menerima hukuman daripada mahkamah.  – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA