Jurutera Hamas dihukum penjara

Jurutera Hamas dihukum penjara

BAITULMAQDIS, 16 Julai – Sebuah mahkamah Israel menjatuhkan hukuman penjara selama 21 tahun ke atas seorang jurutera Palestin yang dituduh membantu membangunkan keupayaan senjata pergerakan Hamas, terutamanya roket pergerakan itu.

Jurutera berkenaan, Dirar Abu Sisi yang juga merupakan pengarah stesen janakuasa di Genting Gaza, diculik di Ukraine pada Februari 2011 sebelum dipindahkan ke Israel secara rahsia untuk dibicarakan.

Selepas empat tahun dibicarakan, Abu Sisi mengaku bersalah terhadap lima pertuduhan termasuk menjadi anggota pejuang Hamas dan membangunkan roket yang digunakan pergerakan tersebut untuk menyerang Israel.

Mahkamah Daerah Beersheba dalam kenyataannya berkata, tertuduh didapati bersalah terhadap lima dakwaan itu dan dijatuhi hukuman penjara selama 21 tahun.

“Abu Sisi merupakan seorang daripada individu bertanggungjawab meningkatkan keupayaan roket milik Hamas yang digunakan untuk menyerang wilayah Israel,” jelas kenyataan itu.

Pada asalnya, Abu Sisi tidak mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan, tetapi berdasarkan satu perjanjian dengan mahkamah, dia mengakui bersalah terhadap kesemua tuduhan itu.

Sayap bersenjata Hamas, Briged Ezzedeen Al-Qassam terlibat secara langsung dalam perang dengan tentera Israel pada tahun lalu dan menggunakan roket yang memiliki keupayaan jarak jauh untuk menyerang kedudukan strategik rejim Zionis.

Dalam perang itu, Al-Qassam melancarkan beribu-ribu roket dan serangan mortar ke arah wilayah Israel, menyebabkan 73 rakyat Israel terbunuh, kebanyakannya askar. – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA