Juruterbang selamat, 3 kru maut

Juruterbang selamat, 3 kru maut

JAKARTA, 28 Nov – Juruterbang bagi helikopter tentera Indonesia telah diselamatkan hidup-hidup selepas pesawat udara itu terhempas di kepulauan Borneo, menurut pegawai hari ini, namun tiga anggota kru lain ditemui maut.

Askar udara yang cedera itu telah ditemui tidak jauh dari bangkai helikopter Bell 412 pada Ahad, tiga hari selepas pesawat itu terhempas ketika ia sedang membawa bekalan ke pos tentera terpencil berhampiran sempadan Malaysia.

“Juruterbang itu terpaksa diangkat menggunakan tali kerana lokasi nahas sangat sukar untuk dimasuki,” kata jurucakap tentera, Sabrar Fadhilah memberitahu AFP, menambah bahawa dia telah dibawa ke hospital bagi menjalani rawatan.

Pasukan mencari hari ini menemui mayat tiga anggota kru lelaki lain berikutan penemuan bangkai pesawat di kawasan pergunungan di wilayah Utara Kalimantan, kata Fadhillah.

Para penyelamat masih lagi mencari lelaki kelima yang hilang di kawasan terpencil itu.

Ia adalah nahas terbaru bagi tentera Indonesia yang mudah terdedah pada kemalangan.

Seramai 12 orang terkorban pada Mac apabila helikopter tentera terhempas dalam keadaan cuaca buruk di Sulawesi di tengah Indonesia. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA