Juruukur Agung, ahli perniagaan bersalah rasuah

Juruukur Agung, ahli perniagaan bersalah rasuah

Oleh Fadley Faisal

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Sept – Mahkamah Majistret di sini hari ini memutuskan bahawa Juruukur Agung Kementerian Pembangunan dan seorang ahli perniagaan dari Malaysia bersalah atas 20 pertuduhan rasuah dan suapan.

Ketua Majistret Haji Abdullah Soefri bin POKSMDSP Haji Abidin semasa membuat keputusan itu turut menetapkan tarikh 12 September ini untuk peguam bela mereka membuat rayuan pengurangan hukuman.

Juruukur Agung, Haji Mohd Jamil bin Haji Mohd Ali dan Puah Heng Yew dari syarikat Selective Powertech Consulting, kini berdepan dengan hukuman denda hingga $30,000 dan penjara selama 10 tahun bagi setiap pertuduhan.

Menurut Ketua Majistret Haji Abdullah Soefri, Timbalan Pendakwa Raya Aldila Haji Mohd Salleh telah berjaya membuktikan tanpa keraguan terhadap kesemua 20 pertuduhan rasuah dan suapan ke atas mereka.

Sepanjang perbicaraan selama tiga tahun, pihak pendakwa telah memanggil 15 orang saksi untuk memberi keterangan manakala pihak pembela mengemukakan empat orang saksi.

Haji Mohd Jamil dituduh telah menerima AS$7,155.31 wang suapan atau ganjaran daripada Puah Heng Yew, pengusaha syarikat Selective Powertech Consulting (SPC), bagi memohon Lembaga Tender Kerajaan agar mempelbagaikan spesifikasi bagi membekal, menghantar, memasang, membina, menguji, mentauliahkan dan menyelenggarakan projek e-Map serta mengemukakan tuntutan bayaran kemajuan kepada Kementerian Pembangunan berhubung perkara itu.

Wang suapan tersebut adalah bayaran bagi pendaftaran, pemasangan dan bayaran caj perkhidmatan bulanan

E-Speed di kediaman Haji Mohd Jamil; bayaran bagi pembaikan dan penyelenggaraan kereta Haji Mohd Jamil; enam tiket pergi dan balik ke Kuala Lumpur, Malaysia dan bayaran bil-bil telefon Haji Mohd Jamil.

Kesemua kesalahan tersebut dilakukan pada tahun 2007 dan 2008.

Syarikat Selective Powertech Consulting pada tahun 2007 telah dipilih sebagai kontraktor utama bagi projek e-Map yang berharga AS$9.5 juta.

Peguam Ahmad Basuni Abas yang mewakili Haji Mohd Jamil memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya mempunyai banyak kepentingan di negara ini dan tidak pernah gagal menghadirkan diri dalam semua perbicaraan kes tersebut.

Manakala peguam Shazale Haji Mohd Salleh yang mewakili Puah Heng Yew pula berkata, anak guamnya telah menetap di negara ini selama kira-kira 30 tahun, telah berkahwin dengan rakyat tempatan serta dikurniakan tiga orang anak.

Kata Shazale, Puah tidak pernah gagal hadir perbicaraan.