Juruukur Agung dipenjara 4 tahun

Juruukur Agung dipenjara 4 tahun

pg06_150917_mahkamah logo

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Sept – Juruukur Agung, Kementerian Pembangunan dan seorang pengurus syarikat luar negara yang didapati bersalah dalam kes rasuah pada tahun 2012 lalu, masing-masing telah dijatuhi hukuman penjara empat tahun dengan hukuman bermula hari ini (16 September).

Hakim Perantaraan (Mantan Ketua Majistret) Haji Abdullah Soefri bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, semasa menjatuhkan hukuman di Mahkamah Majistret di sini hari ini, turut memberi hukuman tambahan ke atas Juruukur Agung, Haji Mohd Jamil bin Haji Mohd Ali iaitu membayar denda sebanyak $7,479.31 kepada kerajaan Brunei dan jika gagal membayar denda dalam tempoh tiga minggu akan ditambah dua bulan penjara.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Biro Mencegah Rasuah (BMR), dalam perbicaraan pada 8 September lalu, Haji Mohd Jamil telah didapati bersalah ke atas empat pertuduhan menerima rasuah di bawah Bab 6(a) Akta Pencegahan Rasuah (Penggal 131) dan 16 pertuduhan pegawai kerajaan menerima benda berharga dengan tiada balasan di bawah Bab 165 Kanun Hukuman Jenayah (Penggal 22).

Manakala itu, Pengurus Selective Powertech Consulting (SPC), Puah Heng Yew pula didapati bersalah bagi empat pertuduhan memberi rasuah di bawah Bab 6(b) Akta Pencegahan Rasuah (Penggal 131) dan 16 pertuduhan bersubahat memberi pegawai kerajaan benda berharga dengan tiada balasan di bawah Bab 109 dan 165 Kanun Hukuman Jenayah (Penggal 22).

Haji Mohd Jamil telah dituduh menerima $7,479.31 wang suapan atau ganjaran daripada Puah Heng Yew bagi memohon Lembaga Tender Kerajaan agar mempelbagaikan spesifikasi bagi membekal, menghantar, memasang, membina, menguji, mentauliahkan dan menyelenggarakan projek e-Map serta mengemukakan tuntutan bayaran kemajuan kepada Kementerian Pembangunan berhubung perkara itu.

Wang suapan tersebut ialah bayaran bagi pendaftaran, pemasangan dan bayaran caj perkhidmatan bulanan e-Speed di kediaman Haji Mohd Jamil; bayaran bagi pembaikan dan penyelenggaraan kereta Haji Mohd Jamil; enam tiket pergi dan balik ke Kuala Lumpur, Malaysia dan bayaran bil-bil telefon Haji Mohd Jamil. Kesemua kesalahan tersebut dilakukan pada tahun 2007 dan 2008.

Syarikat Selective Powertech Consulting pada tahun 2007 telah dipilih sebagai kontraktor utama bagi projek e-Map yang berharga $9.5 juta.

Menurut kenyataan BMR, pendakwaan kes telah dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aldila binti Haji Mohd Salleh yang telah berjaya membuktikan semua pertuduhan ke atas kedua-dua tertuduh tanpa keraguan munasabah.

ARTIKEL YANG SAMA