Jus daun betik penawar demam denggi masih dikaji

Jus daun betik penawar demam denggi masih dikaji

PUTRAJAYA, 31 Jan – Kementerian Kesihatan masih menjalankan kajian berhubung kegunaan jus daun betik sebagai penawar demam denggi, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata kajian klinikal oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) terhadap jus daun betik bagi pesakit denggi (denggi tidak berdarah dan denggi berdarah kelas satu) menunjukkan pengambilan 30 mililiter (ml) atau dua sudu besar jus daripada dua daun betik matang setiap hari, selama tiga hari menaikkan jumlah platelet.

Katanya, peningkatan platelet ini hanya satu daripada pelbagai proses yang berlaku dalam pesakit yang menghidap demam denggi.

“Kajian masih lagi diadakan berkaitan kegunaan jus daun betik bagi demam denggi. Pihak kementerian juga tidak menyediakan jus daun betik di hospital kerajaan,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Dr Noor Hisham berkata demikian mengulas kenyataan oleh pihak tertentu bahawa daun pokok betik mengandungi bahan kima yang berbahaya iaitu ‘cyanogenic glycoside’ yang boleh menyebabkan kegagalan fungsi hati, buah pinggang dan jantung dan seterusnya menyebabkan kematian.

Menurutnya, pokok betik tergolong dalam kumpulan ‘cyanogenesis’ lemah iaitu yang menghasilkan hidrogen sianida dalam kuantiti sedikit [terdapat 0.02 miligram (mg) sianida dalam empat helai pucuk daun betik dan jumlah ini berkurangan apabila daun itu bertambah matang].

Dr Noor Hisham berkata, dos sianida paling rendah untuk memudaratkan manusia adalah sebanyak satu mg bagi setiap kilogram (kg) berat badan.

Oleh itu, katanya, seseorang yang mempunyai berat badan 60 kg memerlukan 12,000 helai daun betik pada satu masa untuk mengakibatkan keracunan.

“IMR sudah menjalankan kajian keselamatan dengan mengenakan dos tertinggi 2,000 mg bagi setiap kg berat badan diuji dalam haiwan makmal. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA