Justin Thomas pertahankan gelaran CIMB Classic 2016

Justin Thomas pertahankan gelaran CIMB Classic 2016

KUALA LUMPUR, 3 Okt – Juara bertahan, Justin Thomas (gambar) adalah antara barisan 67 pemain terkemuka dunia yang bakal beraksi pada Kejohanan Golf CIMB Classic 2016 di TPC Kuala Lumpur, Bukit Kiara, di sini, dari 20 hingga 23 Okt ini.

Turut menghangatkan kejohanan bernilai US$7 juta (RM28.8 juta) itu ialah rakan senegaranya dari Amerika Syarikat, Ryan Moore, iaitu bekas juara dua kali (2013-2014) serta pemain nnombor enam dunia, Adam Scott dari Australia.

“Senarai tahun ini menampilkan sembilan daripada 13 pemain utama dalam ranking final Piala FedEx…salah satu barisan terbaik dalam sejarah kejohanan.

“Kami amat teruja dan peminat sudah pasti tidak sabar untuk menyaksikan persembahan hebat dalam masa tiga minggu lagi,” kata Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz, dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sejumlah 11 lagi pemain akan ditambah dalam senarai kejohanan serta 10 pemain terbaik dalam ranking ‘Order of Merit’ Jelajah Asia setakat 17 Okt ini.

Malaysia akan diwakili oleh juara SapuraKencana Classic Kebangsaan bulan lepas, Gavin Kyle Green manakala satu lagi slot disediakan untuk pemain tempatan yang menduduki ranking terbaik dunia setakat 11 Okt ini.

Kejohanan CIMB Classic adalah sebahagian daripada kalender Piala FedEx Jelajah PGA dan diiktiraf bersama Jelajah Asia serta Persatuan Golf Profesional Malaysia. – Bernama