Justin Trudeau angkat sumpah

Justin Trudeau angkat sumpah

OTTAWA, 5 Nov (AFP) – Justin Trudeau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Kanada ke-23 Rabu di hadapan sekumpulan penyokong penuh sesak yang mengibarkan bendera, hampir 50 tahun selepas bapanya memegang jawatan itu.

Bekas guru bahasa Perancis berusia 43 tahun itu mengetepikan iklan serangan kempen yang mendakwa beliau “tidak bersedia”, menang besar dalam pilihan raya 19 Oktober lalu dan menamatkan sembilan tahun pemerintahan Tory.

Dengan rambut kerinting gelap, penuh yakin dan petunjuk ucapan ayahnya, Trudeau berdiri tegap, tersenyum sambil mengucapkan ‘Terima kasih” ketika tepukan gemuruh mengiringinya selepas mengangkat sumpah dalam dewan rumah agam gabenor.

Nyanyian penduduk pribumi menutup acara itu, yang turut dihadiri pemimpin masyarakat orang asli, tentera, bekas perdana menteri, gabenor serta pemimpin lain.

David Johnston (kanan) dan Justin Trudeau (tengah) bergambar bersama kabinet selepas mengangkat sumpah di Dewan Rideau di Ottawa. – AFP
David Johnston (kanan) dan Justin Trudeau (tengah) bergambar bersama kabinet selepas mengangkat sumpah di Dewan Rideau di Ottawa. – AFP

Terdahulu, ibu Trudeau, Margaret adalah orang pertama tiba untuk menyaksikan upacara angkat sumpah anak lelakinya di Rideau Hall, kediaman rasmi gabenor, membawa anak lelaki bongsunya Hadrian serta dua lagi anaknya, Ella-Grace dan Xavier.

Trudeau sendiri dan anggota Kabinetnya muncul tidak lama selepas itu menaiki bas, berbanding limosin individu yang secara tradisinya digunakan membawa menteri kerajaan di sekitar ibu kota ini, dan kemudian berjalan di laluan ke rumah agam gabenor.

Anggota Kabinetnya termasuk personaliti dikenali seperti bekas angkasawan Marc Garneau, bekas pemimpin Liberal Stephane Dion selain beberapa muka baharu.