Jutaan lagi beg udara ditarik balik

Jutaan lagi beg udara ditarik balik

TOKYO, 8 Mei (AFP) – Honda Motor akan menarik balik 20 juta beg udara buatan Takata tambahan di seluruh dunia, kata akhbar hari ini, dalam skandal yang telah membawa kepada penarikan balik kereta terbesar dalam sejarah AS.

Syarikat alat ganti kereta yang berpangkalan di Tokyo, Takata, sedang bergelut untuk menghadapi dan mengatasi satu kerosakan yang boleh menyebabkan serpihan besi dan plastik daripada kanister inflator meluru pada pemandu dan penumpang apabila beg udara digunakan. Kerosakan itu telah dipersalahkan ke atas kecederaan teruk yang membawa kematian dalam sesetengah kes.

Honda, serta pengeluar kereta lain, telah pun diarahkan oleh pihak berkuasa AS untuk menarik balik kesemua unit yang tidak mengandungi bahan pengering yang mengekal bahan peletup dalam beg udara daripada merosot.

Pengeluar kereta Jepun kini merancang memperluaskan kawasan untuk penarikan balik ke Asia, Oceania, Latin Amerika dan Eropah, yang akan memaksa firma itu menarik balik 20 juta beg udara atau lebih dari seluruh dunia, sekali gus membawa jumlah keseluruhan kepada lebih 50 juta, kata akhbar Nikkei.

Kos tambahan itu dianggarkan berjumlah 200 bilion yen, kata akhbar perniagaan itu, menambah tindakan terbaru oleh pembeli terbesar beg udara Takata mungkin mendorong pengeluar kereta lain mengikut jejak langkah.

Pengesahan mengenai laporan berita itu tidak dapat diperoleh.

Pada Rabu lalu, Pentadbiran Keselamatan Lalu Lintas Lebuh Raya Nasional AS mengarahkan Takata supaya menarik balik di antara 35 dan 40 juta beg udara tambahan yang dipasang dalam kereta AS.

ARTIKEL YANG SAMA