Jutaan staf AS mangsa penggodam

Jutaan staf AS mangsa penggodam

WASHINGTON, 5 Jun (AFP) – Kerajaan Amerika Syarikat semalam mengaku penggodam mengakses data peribadi sekurang-kurangnya empat juta kakitangan persekutuan dahulu dan sekarang dalam serangan siber yang disyaki berasal di China.

“Akibat kejadian itu,” yang dibongkar pada April, Pejabat Pengurusan Kakitangan berkata ia “akan menghantar pemberitahuan kepada kira-kira empat juta individu.”

Ia menambah pendedahan tambahan “mungkin diketahui akhirnya.”

Jabatan kakitangan kerajaan mengendalikan beratus ribu kelulusan keselamatan sensitif dan latar belakang siasatan ke atas bakal pekerja setiap tahun.

Masih tidak jelas sama ada pencerobohan tersebut menjejaskan Presiden Barack Obama, pegawai kanan kerajaan lain atau komuniti risikan.

Serangan siber oleh para penggodam itu mampu mengakses data peribadi itu disyaki berasal di China.
Serangan siber oleh para penggodam itu mampu mengakses data peribadi itu disyaki berasal di China.

Akhbar The Washington Post dan media Amerika Syarikat lain memetik pegawai kerajaan sebagai berkata penggodam China berada di sebalik pencabulan tersebut.

Namun kedutaan China di Washington berkata serangan sedemikian tidak dibenarkan di bawah undang-undang China.

“Membuat kesimpulan dengan tergesa-gesa dan membuat tuduhan bersifat hipotesis adalah sikap tidak bertanggungjawab dan tidak produktif,” kata jurucakap kedutaan Zhu Haiquan.

“Undang-undang China melarang semua bentuk jenayah siber. China telah berusaha sedaya upaya untuk memerangi serangan siber sejajar dengan undang-undang dan peraturan China,” tambah beliau.

Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dikatakan sedang mengetuai siasatan. FBI dalam satu kenyataan berkata ia “akan terus menyiasat dan mendakwa mereka yang menimbulkan ancaman dalam ruang siber.”