Jutawan dihukum mati kerana rasuah

Jutawan dihukum mati kerana rasuah

TEHRAN, 7 Mac (AFP) – Taikun Babak Zanjani yang dilaporkan salah seorang lelaki terkaya di Iran, telah dijatuhi hukuman mati, dengan menyabitkannya bagi kesalahan rasuah selepas perbicaraan panjang atas tuduhan menipu memperoleh AS$2.8 bilion.

Seorang pegawai pengadilan mengumumkan penghukuman itu semalam, dengan mengatakan Zanjani yang dikenali mencari jalan untuk menyalurkan mata wang dari jualan minyak ketika era sekatan di bawah kepimpinan Presiden Mahmoud Ahmadinejad dari tahun 2005 hingga 2013, boleh membuat rayuan.

Zanjani menjadi terkenal selepas sekatan yang dikenakan ke atas bank-bank republik Islam sebagai hukuman bagi program nuklearnya yang mencengkam teruk kewangan negara itu.

Setelah menerima komisen, menurutnya dia sepanjang masa bekerja dengan pengetahuan dan sokongan kerajaan Ahmadinejad dan dia bercakap besar dalam temu bual media tentang kemahirannya dan kekayaan yang diraihnya dengan mampu untuk melemahkan pengetatan perbankan.

Zanjani juga berkata dia berbuat demikian dengan menggunakan jaringan syarikat-syarikat di pelbagai negara termasuklah Emiriah Arab Bersatu, Turki dan Malaysia, dengan menjual berjuta-juta tong minyak Iran.

Babak Zanjani semasa berada di mahkamah di Tehran. - AFP
Babak Zanjani semasa berada di mahkamah di Tehran. – AFP

Tetapi dia diberkas pada Disember 2013, tiga bulan selepas presiden pada masa ini, Presiden Hassan Rouhani memegang jawatannya, dengan janji akan bertindak ke atas rasuah.

Perbicaraan itu dijalankan secara terbuka, jarang dilakukan bagi kes besar seumpama itu di Iran dan dua orang lagi tertuduh juga disabitkan dengan ‘rasuah di bumi,’ kesalahan paling serius di republik Islam, bermakna mereka juga akan berdepan dengan hukuman mati.

“Mahkamah awal telah menjatuhi hukuman mati ke atas tiga defendan dan juga diarah membayar balik kepada plaintif,” kata Mohseni-Ejeie, dengan menambah kata ini adalah kementerian minyak.

Mereka juga mesti membayar ‘denda sama dengan satu perempat wang yang dilaburkan secara haram,” menurut jurucakap itu, tanpa menyatakan jumlahnya.

Zanjani telah menafikan salah laku, dengan menegaskan satu-satunya alasan wang tidak dibayar kepada kementerian minyak ialah sekatan telah menghalang pemindahan yang dirancang dari dilaksanakan. Dakwaan itu dipertikaikan di mahkamah.

ARTIKEL YANG SAMA