Jutawan India disabit bersalah bunuh pengawal keselamatan

Jutawan India disabit bersalah bunuh pengawal keselamatan

NEW DELHI, 20 Jan – Sebuah mahkamah India hari ini menyabit bersalah seorang usahawan jutawan atas kesalahan membunuh dengan merempuh kereta SUVnya ke arah seorang pengawal keselamatan yang lambat membuka pagar, menurut peguam pendakwaan.

Muhammad Nisham, 39, telah ditangkap Januari lepas selepas dia menghimpit pengawal itu ke arah dinding menggunakan Hummernya kerana terlambat membuka pagar di kompleks apartmennya di negeri selatan Kerala.

Pengawal berusia 50 tahun itu, Chandarabose, mengalami cedera berganda dan meninggal dunia selepas disebabkan jantung terhenti di hospital tempat dia menerima rawatan.

“Ia adalah perbicaraan singkat dan mahkamah mendapati tertuduh, Nisham, bersalah kerana membunuh,” pendakwa raya awam Udaya Bhanu memberitahu AFP menerusi telefon.

“Kami telah mencadangkan hukuman maksimum – mati,” kata Bhanu.

Hukuman akan dilakukan pada Khamis.

Mahkamah mendengarkan yang Nisham telah mengejarnya ke dalam kompleks menggunakan Hummernya dan menghimpitnya ke arah dinding sebelum keluar dan memukulnya dengan batang besi.

Ia bukan pertama kali Nisham menjadi tajuk berita yang hangat.

Dia berdepan kes jenayah berasingan berikutan dengan membenarkan anak lelakinya yang berusia sembilan tahun memandu Ferrari pada 2013, yang menyebabkan keberangan ramai selepas dia memuat naik videonya ke dalam YouTube.

Nisham memperoleh kekayaan daripada beedis, rokok gulung India yang popular yang dibungkus dengan daun tembakau dan juga memiliki perniagaan hotel dan barangan kemas di Timur Tengah.

Dia dilaporkan meminati kereta-kereta mewah dan memiliki armada besar koleksi kereta. – AFP