Jutawan Rusia bayar gaji tertunggak Capello

Jutawan Rusia bayar gaji tertunggak Capello

MOSCOW, 23 Jun (Reuters) – Jutawan Rusia, Alisher Usmanov menyalurkan bantuan sebanyak 300 juta rouble kepada Kesatuan Bola Sepak Rusia (RFS) untuk membayar hutang gaji jurulatih bola sepak negara itu, Fabio Capello.

Capello, seorang warga Itali mengambil alih tugas pembimbing pada Julai 2012, sebelum kontraknya disambung sehingga Piala Dunia 2018 berakhir, yang mana Russia menjadi tuan rumah.

“Sebagai Ahli Jawatankuasa Lembaga Penasihat Penganjur Tempatan Rusia 2018, Usmanov mengambil keputusan untuk menyalurkan bantuan kewangan kepada RFS sebanyak 300 juta rouble,” menurut pasukan khidmat media Usmanov kepada agensi berita, R-Sports.

“Persoalan mengenai ketua jurulatih adalah sangat penting bagi pasukan bola sepak kebangsaan menjelang Piala Dunia 2018.”

Seorang jutawan Rusia telah menyalurkan bantuan kepada RFS untuk membayar gaji Capello yang tertunggak. – Reuters
Seorang jutawan Rusia telah menyalurkan bantuan kepada RFS untuk membayar gaji Capello yang tertunggak. – Reuters

RFS bagaimanapun tidak dapat dihubungi bagi mengesahkan pembayaran itu. Menurut majalah Forbes, Usmanov adalah lelaki paling kaya di Rusia dengan anggaran kekayaan berjumlah AS$14.7 bilion.

Awal tahun ini, dia meminjamkan sebanyak 400 juta rouble kepada RFS bagi membantu membayar gaji Capello. Jurulatih dari Itali itu menerima gaji tahunan sebanyak 7 juta euro, namun bayaran itu tertunggak sebanyak lima juta euro.

Awal bulan ini, Rusia ditundukkan Austria 1-0 pada saingan kelayakan Euro 2016 dan kini hanya menduduki tempat ketiga dalam Kumpulan G selepas menghimpun lapan mata daripada enam perlawanan.