Jutawan Saudi jual hotel Four Seasons Toronto

Jutawan Saudi jual hotel Four Seasons Toronto

RIYADH, 2 Okt – Syarikat jutawan Saudi, Putera Alwaleed bin Talal telah menjual hotel mewah Four Seasons di Toronto sekitar AS$170 juta, katanya hari ini.

Syarikat Kingdom Holding (KHC) berkata ia menjual hotel berkenaan sekitar 225 juta dolar Kanada (152 juta euro) kepada Shahid Khan, seorang ahli perniagaan Pakistan-Amerika yang mengasaskan pembuatan alat gentian kereta Flex-N-Gate dan memiliki kelab Liga Perdana Inggeris, Fulham.

KHC berkata ia telah membuat keuntungan sebanyak 17 juta dolar Kanada atas penjualan hotel tersebut, yang dibelinya empat tahun lalu sekitar 200 juta dolar Kanada.

“Transaksi ini menandakan satu lagi kejayaan lain berhubung strategi pencapaian nilai KHC daripada pelaburan hospitaliti berkualiti tinggi kami,” kata Putera Alwaleed.

“Kami amat berbesar hati menye-rahkan pemilikan hartanah ini kepada Shahid Khan yang terkenal dengan minatnya ke atas jenama Four Seasons,” katanya dalam satu kenyataan.

“Kingdom akan terus menjadi pemegang saham dalam aset ini melalui kepentingan kami dalam syarikat pengurusan Four Seasons Hotels and Resorts yang akan terus mengoperasikan hotel tersebut.”

Putera Alwaleed memiliki sekitar 95 peratus saham KHC, pelaburan global terbesar dengan saham-saham lain dalam taman tema Euro Disney, Apple, News Corporation dan syarikat perbankan gergasi AS, Citigroup.

Syarikat itu juga memiliki beberapa rangkaian hotel-hotel mewah termasuk George V di Paris. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA