Juve bangkit

Juve bangkit

MANCHESTER, United Kingdom, 16 Sept (AFP) – Juventus berjaya mencari penawar untuk masalah awal musim dengan menewaskan Manchester City 2-1 dalam perlawanan pembukaan Liga Juara-Juara Kumpulan D di Stadium Etihad semalam.

Juara Itali dan finalis Eropah musim lalu yang tewas dua dan seri sekali dalam tiga perlawanan pertama Serie A itu ketinggalan pada minit ke-57 apabila tekanan Vincent Kompany memaksa Giorgio Chiellini menjaringkan gol sendiri.

Bek tengah Juventus itu membantah dengan alasan dia telah dikasari tetapi pasukannya menyamakan kedudukan 13 minit kemudian menerusi Mario Mandzukic sebelum Alvaro Morata menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-81.

“Syabas kepada para pemain kerana saya fikir mereka benar-benar beraksi dengan baik menentang pasukan cemerlang bersama pemain hebat,” kata jurulatih Juventus Massimiliano Allegri.

“Ia adalah satu masa yang cukup menarik bagi kita. Bukan mudah untuk menang di sini dan saya fikir pemain bermain dengan sangat baik.”

Buffon bersama rakannya meraikan kemenangan ke atas Manchester City di Stadium Etihad semalam. – AFP
Buffon bersama rakannya meraikan kemenangan ke atas Manchester City di Stadium Etihad semalam. – AFP

Selepas lima kemenangan berturut-turut dalam Liga Perdana Inggeris, kekalahan ini merupakan tamparan pertama pasukan Manuel Pellegrini musim ini, sekali gus menghantui mereka yang gagal untuk mara ke pusingan 16 terakhir empat musim lalu.

Mereka hanya menang tiga daripada 12 aksi di tempat sendiri dalam pertandingan ini dan jauh di belakang menjelang perlawanan seterusnya ke Borussia Moenchengladbach pada 30 September.

“Ia mengecewakan. Saya tidak fikir kami berhak untuk kalah,” kata pengurus City Pellegrini.

“Kami mempunyai peluang yang lebih baik dan bermain lebih baik berbanding Juventus. Itulah kebiasaan dalam Liga Juara-Juara. Kedua-dua pasukan tidak mencipta banyak peluang tetapi kami lebih menguasai. Ia bukan satu masalah taktikal. Juventus hanya menjaringkan dua gol cantik.”

Allegri mengakui pada malam permainan pasukannya dihantui rentak domestik yang hambar dan cemas melihat pertahanan mereka dirempuh selepas dua minit.

ARTIKEL YANG SAMA