Juve benam Sevilla

Juve benam Sevilla

TURIN, Ital1, 1 Okt (AFP) – Alvaro Morata membuka jaringan sebelum rehat dan Simone Zaza pula meledakkan gol sulung Liga Juara-Juara pada minit-minit terakhir ketika Juventus mendominasi Sevilla yang tidak bermaya untuk mengungguli kumpulan D dengan kemenangan 2-0 pagi tadi.

Juventus, finalis yang tewas musim lalu, melayan juara Liga Europa Unai Emery di Turin untuk membuktikan rentak hambar domestik sehingga hanyut ke tangga ke-15 dalam Serie A hanya bersifat sementara.

Pada akhir pertemuan berat sebelah, jelas masalah domestik Sevilla sendiri mungkin menimbulkan ancaman yang lebih besar untuk mereka musim ini, walaupun Emery cuba untuk memberikan gambaran positif pasukannya.

“Juventus adalah finalis yang tewas musim lalu dan pemain berkualiti tinggi, jadi kami menjangka ini akan menjadi pertemuan sukar,” kata Emery.

“Kami masih perlu memperbaiki banyak perkara tetapi saya menganggap prestasi malam ini sebagai positif memandangkan ramai pemain saya cedera.”

Morata meraikan jaringan semasa menentang Sevilla dalam aksi Kumpulan D Liga Juara-Juara di Stadium Juventus, Turin semalam. – Reuters
Morata meraikan jaringan semasa menentang Sevilla dalam aksi Kumpulan D Liga Juara-Juara di Stadium Juventus, Turin semalam. – Reuters

Anehnya, Juventus yang menang 2-1 di Manchester City, kini mengungguli kumpulan dengan lebih banyak mata daripada dua perlawanan Liga Juara-Juara berbanding pungutan mata untuk enam perlawanan Serie A.

“Perbezaan besar adalah kami mempunyai enam mata daripada Liga Juara-Juara dan lima dari Serie A,” seloroh jurulatih Juve Massimiliano Allegri ketika diminta menjelaskan keupayaan pasukannya untuk bangkit di Eropah.

Selepas memuji aksi hebat pasukannya, Allegri kemudian memuji persembahan mengagumkan Sami Khedira selepas pemenang Jerman Piala Dunia itu kembali beraksi selepas dua bulan.

“Dia seorang pemain bertaraf dunia, malam ini (Rabu) dia melakukannya dengan baik dan menunjukkan kualiti dan kemahiran beliau. Saya amat gembira dengan dia,” kata Allegri.