Juve cuba halang Citizens balas dendam

Juve cuba halang Citizens balas dendam

MILAN, 24 Nov (AFP) – Pasukan Juventus esok akan melayan Manchester City yang memburu kemenangan bagi memastikan mereka berjaya melangkah ke pusingan 16 terakhir Liga Juara–Juara.

Kemenangan 3-1 City ke atas Sevilla sebelum ini menyaksikan pasukan Manuel Pellegrini mengungguli Kumpulan D dengan sembilan mata, dan dengan Juventus ketinggalan satu mata di belakang untuk menduduki tangga kedua, mereka akan mengungguli kedudukan teratas dengan kemenangan di Turin.

Jika diukur berdasarkan rentak City baru–baru ini, Juventus mempunyai alasan untuk percaya mereka boleh mencatatkan kemenangan kedua berturut–turut ke atas Citizens, selepas mengejutkan pasukan Pellegrini 2-1 September lalu apabila Alvaro Morata menjaringkan gol pada minit ke-81 di Etihad, dan berada di tangga teratas dalam perlawanan di gelanggang luar menentang Sevilla.

City sudah layak tetapi akan berkunjung ke Itali selepas kekalahan memalukan tewas 4-1 di tempat sendiri kepada Liverpool hujung minggu lalu menyaksikan mereka ketinggalan dua mata di belakang pendahulu Liga Perdana, Leicester City.

Reaksi jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri semasa pasukannya menentang AC Milan di Turin, 21 November lalu. - AFP
Reaksi jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri semasa pasukannya menentang AC Milan di Turin, 21 November lalu. – AFP

Keputusan itu tiba dengan ketiadaan pertahanan City dan kapten pasukan, Vincent Kompany, begitu juga dengan penyerang Wilfired Bony, David Silva dan Samir Nasri – semuanya masih direhatkan kerana cedera.

Pellegrini yang berkata persembahan pasukannya ‘tidak normal’ menambah: “Begitu penting untuk menukar lembaran secepat yang mungkin. Kami memiliki perlawanan penting pada Rabu.”

Dengan Paulo Dybala menjaringkan gol kemenangan pada separuh masa kedua untuk memenangi 1-0 di tempat sendiri ke atas AC Milan Sabtu lalu, Juventus mencatatkan kemenangan ketiga berturut-turut dalam Serie A buat kali pertama musim ini.