Juve, Inter Milan mara separuh akhir

Juve, Inter Milan mara separuh akhir

ROM, 21 Jan – Penyandang juara Piala Itali, Juventus menempah pertembungan separuh akhir dengan Inter Milan selepas menundukkan Lazio 1-0, awal pagi tadi ketika gol tunggal perlawanan terpaksa ditentukan menerusi teknologi garisan gol.

Kemenangan di peringkat suku akhir itu adalah kemenangan ke-10 berturut-turut buat Juventus yang memperoleh gol tunggal pada minit ke-66 di Stadium Olimpik menerusi pemain Switzerland, Stephan Lichtsteiner.

Bekas bintang Lazio itu berada di tempat yang betul apabila menyambar bola rembatan Simone Zaza yang sekadar menggegar palang gol ke gawang lawan dan sekalipun rembatannya ditepis penjaga gol, Etrit Berisha, teknologi menunjukkan bola itu sudah melepasi garisan gol.

“Ia akan menjadi perlawanan separuh akhir yang menarik, kamu perlu bertemu kelab-kelab yang besar untuk mara ke penghujung, namun ketika ini kami fokus untuk pertembungan minggu ini bersama Roma di liga,” kata jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri.

Inter dalam pada itu menundukkan Napoli 2-0 pada satu lagi pertembungan suku akhir, semalam dengan perlawanan dibayangi perang mulut membabitkan kedua-dua jurulatih, Roberto Mancini dan Maurizio Sarri.

Mancini menuduh rakan sejawatannya, Sarri sebagai ‘perkauman’ apabila mendakwa pengurus itu menghinanya. Mancini dan Sarri berbalah selepas Adem Ljajic meledak gol kedua buat Inter yang menjaringkan gol pertama menerusi Stevan Jovetic. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA