Juve kembali ke persada Liga

Juve kembali ke persada Liga

MILAN, 22 Sept – Gonzalo Higuain kembali menemui sentuhan penyudah ketika membantu Juventus merampas tangga teratas Serie A daripada Napoli selepas menewaskan Cagliari 4-0 di Turin, semalam.

Higuain yang dibawa masuk daripada Napoli dengan rekod perpindahan Itali sebanyak 90 juta euro gagal menjaringkan gol dalam dua perlawanan terakhir bersama Juventus – ketika seri tanpa jaringan dengan Sevilla dalam saingan Liga Juara-Juara dan tewas 1-2 kepada Inter Milan, Ahad lalu.

Bagaimanapun, penyerang antarabangsa Argentina itu membuktikan bakat dimilikinya apabila merekodkan gol keempat musim ini pada minit ke-33 selepas pemain pertahanan, Daniele Rugani meletakkan pasukan itu di depan menerusi jaringan minit ke-14.

Juventus jelas mendominasi perlawanan berbanding pasukan pelawat dan berjaya menambah gol menerusi Dani Alves (39) serta gol sendiri Luca Ceppitelli (83). Jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri, berkata kritikan yang diterima pasukan itu susulan kekalahan dalam aksi pembukaan adalah keterlaluan.

Selepas aksi tanpa jaringan Napoli di Genoa, di mana Pepe Reina perlu menghasilkan beberapa aksi menarik, Juventus kini mendahului Napoli dengan satu mata, dengan Roma naik ke tangga ketiga selepas membelasah pasukan baru dinaikkan Crotone 4-0 yang termasuk gol pertama Edin Dzeko pada musim ini. Jurulatih Roma Luciano Spalletti di bawah tekanan selepas kekalahan 1-0 ke atas Fiorentina, namun pengendali Giallorossi itu secara cepat meredakannya.

Higuain ketika beraksi menentang Cagliari di Turin, kelmarin. - AFP
Higuain ketika beraksi menentang Cagliari di Turin, kelmarin. – AFP

Stephen El Shaarawy membawa Roma di depan pada minit ke-25 apabila meledak bola ditepis melepasi Alex Cordaz.

Pemain kebangsaan Mesir, Mohamed Salah menggandakan pendahuluan Roma pada minit ke-37 apabila menewaskan Cordaz di posisi sama.

Dan Dzeko membawa keputusan di luar jangkaan apabila dia melambungkan bola melepasi penjaga gawang selepas menerima hantaran daripada Francesco Totti tiga minit selepas separuh masa kedua bermula.

Beberapa minit kemudian Dzeko menjaringkan gol keempat buat Roma sekali gus melengkapkan jaringan pada perlawanan itu. – AFP