Juve lanjut kontrak Buffon, Barzagli

Juve lanjut kontrak Buffon, Barzagli

MILAN, 12 Mei (AFP) – Legenda Juventus, Gianluigi Buffon memberi bayangan dia masih berharap untuk menjulang trofi Liga Juara-Juara selepas menandatangani kontrak baharu dua tahun bersama juara Serie A Itali itu, semalam.

Buffon menandatangani kontrak lanjutan itu bersama pemain pertahanan, Andrea Barzagli. Penjaga gol kebangsaan Itali itu menikmati satu lagi kejayaan musim ini bersama gergasi Turin itu selepas membantu Juventus meraih kemenangan kelima berturut-turut Serie A.

Kejayaan itu mampu digandakan selepas kelab itu turut dijadual beraksi di pentas final Piala Itali bertemu AC Milan pada minggu depan.

Buffon mencipta rekod baharu Serie A beraksi 974 minit tanpa melepaskan gol ketika Juve dinobatkan juara Serie A namun penjaga gol berusia 38 tahun itu masih menunggu untuk menjulang kejayaan Liga Juara-Juara.

Kurang setahun lalu, mereka melangkah ke final namun tewas 3-1 kepada Barcelona sebelum disingkirkan oleh Bayern Munich di peringkat 16 terakhir musim ini.

Buffon dan Andrea Barzagli terus bersama Juventus untuk dua tahun lagi. – AFP
Buffon dan Andrea Barzagli terus bersama Juventus untuk dua tahun lagi. – AFP

“Sasaran yang saya sendiri tetapkan di sini sentiasa berkait dengan keseluruhan pasukan dan turut bergantung kepada individu juga,” kata Buffon yang mengakui kekalahan dalam perlawanan timbal balik kepada Bayern mengecewakannya.

“Pada satu kawasan bagi saya ialah menguruskan emosi saya dengan lebih baik, seperti menghadapi kekecewaan yang saya rasakan ketika melepaskan gol kedua pada perlawanan timbal balik menentang Bayern,” katanya.

Buffon dan Barzagli, 35, bagaikan tembok batu di jentera pertahanan Juve dan muncul antara tonggak kejayaan kelab itu di peringkat domestik serta peningkatan memberangsangkan Itali dalam kempen antarabangsa.