Juve mahu juarai Kumpulan D

Juve mahu juarai Kumpulan D

MADRID, 7 Dis – Juara Itali, Juventus menyasarkan untuk mengelak pertembungan pasukan elit Eropah pada peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara dengan memastikan tempat teratas Kumpulan D dalam kunjungan ke Sevilla, awal pagi Rabu.

Finalis musim lalu itu kini mengatasi Manchester City dua mata dan hanya memerlukan keputusan seri di Sanchez Pizjuan untuk mengelak pasukan seperti Barcelona, Real Madrid dan Bayern Munich.

“Menutup saingan di tangga teratas kumpulan akan memberikan undian yang lebih mudah dalam peringkat kalah mati pertama dan atas alasan itu kami perlu pulang dengan keputusan positif,” kata pertahanan Leonardo Bonucci.

“Di Eropah, kami mungkin tidak setahap dengan Barcelona, Bayern dan Real tetapi dengan sentuhan nasib, permainan disiplin dan magis daripada pemain muda, kami boleh memberi kesan sekali lagi dalam Liga Juara-Juara.”

Pasukan Juventus membuat persediaan latihan menjelang perlawanan menentang Sevilla Rabu ini. - AFP
Pasukan Juventus membuat persediaan latihan menjelang perlawanan menentang Sevilla Rabu ini. – AFP

Prestasi Juventus dalam saingan Seria A juga kembali melonjak apabila mencatat lima kemenangan berturut-turut untuk hanya ketinggalan enam mata di belakang pendahulu Inter Milan.

Kecederaan yang dialami Sami Khedira memaksa pengendalinya Massimiliano Allgeri mengubah formasi pasukan kepada 3-5-2 dan ia ternyata membawa kejayaan beberapa minggu kebelakangan ini.

Dan pasukan pelawat itu akan mendapat khidmat Paul Pogba semula yang kembali daripada hukuman penggantungan ketika menang 2-0 terhadap Lazio, Jumaat lalu.

Namun, Allegri akan berdepan dilema sama ada akan memulakan Alvaro Morata dalam kesebelasan utama atau kekal dengan penyerang sensasi muda Argentina Paulo Dybala yang meledak dan mencipta gol ketika berdepan Lazio. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA