Juventus benam Atalanta 2-0

Juventus benam Atalanta 2-0

MILAN, 7 Mac (Reuters) – Gol-gol daripada Andrea Barzagli dan Mario Lemina mengembalikan semula kelebihan tiga mata Juventus di puncak Serie A selepas membenam Atalanta Bergamo 2-0, awal pagi tadi.

Kemenangan itu menyaksikan Juventus mengumpul 64 mata tatkala berbaki 10 perlawanan, mengatasi Napoli di tempat kedua yang menewaskan Chievo 3-1, kelmarin.

Skuad Massimiliano Allegri jelas tidak sabar untuk kembali pada rentak kemenangan selepas dimalukan Inter Milan 3-0 pada aksi separuh akhir kedua Piala Itali sebelum bernasib baik mara ke final selepas menang penentuan sepakan penalti.

Mereka mendahului pada minit ke-24 apabila Barzagli bijak menyumbat masuk dari sudut sukar tetapi gagal menamatkan cabaran lawan biarpun memperoleh beberapa peluang keemasan.

“Rakan sepasukan menjadikan saya bahan jenaka kerana tidak menjaringkan gol tetapi ini bukan jaringan pertama saya,” kata Barzagli. “Perkara paling penting adalah kemenangan.”

Bagaimanapun, Allegri berkata: “Kami hanya bagus dalam tempoh 50 minit.”

Inter Milan pula merapatkan jurang dua mata dengan pasukan di tangga keempat Fiorentina selepas menewaskan Palermo 3-1.

“Kami membuktikan betapa kami masih ada peluang. Masih ada banyak perlawanan dan kedudukan liga boleh berubah. Semuanya bergantung kepada kami,” kata jurulatih Inter, Roberto Mancini.