Juventus benam Real

Juventus benam Real

TURIN, 6 Mei (AFP) – Bekas penyerang Real Madrid, Alvaro Morata masing-masing menjaring satu gol dalam ke menangan 2-1 Juventus ke atas penyandang mahkota Liga Juara-Juara Eropah pada perlawanan pertama separuh akhir, awal pagi tadi.

Morata, yang menyertai Juventus selepas membantu Madrid menjulang gelaran Eropah buat kali ke-10, tidak meraikan jaringan selepas menyumbatkan gol pembukaan pada minit kesembilan.

Pemain Terbaik Dunia Cristiano Ronaldo – penjaring terbanyak kejohanan – berjaya menyamakan kedudukan untuk Madrid pada minit ke-27 tetapi bekas rakan sepasukannya di Manchester United, Carlos Tevez mempamerkan sentuhan menakjubkan musim ini apabila meletakkan Juventus kembali di depan menerusi sepakan penalti selepas dijatuhkan Dani Carvajal.

“Kami bermain dengan baik, kami dapat peluang terbaik dan kami perlu mempamerkan persembahan yang sama apabila beraksi pada peringkat kedua nanti. Kami buat banyak kesilapan berbanding kebiasaan sebelum ini, sebab itulah Juve mengasak. Saingan semakin getir pada babak separuh masa kedua.

“Kami ada keyakinan kerana kami bermain di tempat sendiri dan penyokong turut membantu kami. Kami perlu bersabar. Keputusan negatif satu, tetapi tidaklah teruk,” kata jurulatih Madrid, Carlo Ancelotti yang pernah membimbing Juventus dari 1999-2001.

Penyerang Juventus, Alvaro Morata menjaringkan gol semasa menentang Real Madrid pada pusingan pertama separuh akhir Liga Juara-Juara di Turin semalam. – AFP
Penyerang Juventus, Alvaro Morata menjaringkan gol semasa menentang Real Madrid pada pusingan pertama separuh akhir Liga Juara-Juara di Turin semalam. – AFP

Juventus, kali terakhir menjuarai piala berprestij itu pada 19 tahun lalu, akan terus memburu kemunculan di final kali pertama sejak 2003 apabila turun beraksi pada peringkat kedua di Madrid pada 13 Mei ini.

“Saya amat gembira dengan persembahan anak buah saya. Kami buktikan betapa kami kuat, walaupun saya fikir kami boleh bermain lebih baik.

“Kami perlu memberikan persembahan terbaik apabila bermain di Madrid. Kami akan buat persiapan mulai sekarang kerana menyedari kami perlu bermain lebih baik berbanding perlawanan ini,” kata jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri.

Dengan sokongan penonton tuan rumah, juara Liga Itali itu bermula cemerlang pada babak awal dan Morata ternyata memberikan permulaan sempurna buat kelabnya.