Juventus buru trofi ketiga

Juventus buru trofi ketiga

TURIN, Itali, 26 Mei (AFP) – Jurulatih Juventus Massimiliano Allegri memberi amaran awal kepada Barcelona menjelang pertemuan final Liga Juara-Juara selepas mempamer aksi cemerlang pada perlawanan terakhir liga semalam.

Kelab Turin itu baru saja melakar kemenangan 3-1 ke atas Napoli sekali gus menambah kegembiraan peminat mereka tiga hari selepas mengesahkan kejuaraan kedua sejak 1995 dengan menewaskan Lazio 2-1 pada aksi final Liga Itali.

Juventus kini sedang melakukan persiapan rapi dalam misi menumbangkan Barcelona pada pentas tertinggi antara kelab Eropah berlangsung di Berlin, 6 Jun ini.

Barcelona pantas dilabel selaku pasukan pilihan dan meskipun Allegri berhati-hati dengan peluang anak buahnya, pengendali berusia 48 tahun itu berkata, barisan pemainnya sudah bersiap sedia daripada segi mental dan fizikal untuk berdepan cabaran sukar itu.

“Kami sudah memenangi kejuaraan liga serta Piala Itali dan kini fokus sepenuhnya untuk final Liga Juara-Juara,” kata Allegri.

Allegri juga adalah individu yang bertanggungjawab membawa AC Milan meraih kejuaraan liga pada 2011 pada musim pertamanya membimbing kelab itu, namun Milan tersingkir pada pusingan kedua Liga Juara-Juara selepas tewas kepada Barcelona menerusi agregat 4-2 dua tahun lalu.

ARTIKEL YANG SAMA