Juventus fokus temu Sevilla

Juventus fokus temu Sevilla

TURIN, 14 Sept – Jurulatih Juventus Massimiliano Allegri (gambar) memberi amaran cita-cita besar kelab tersebut untuk kempen Liga Juara-Juara tidak akan memberi sebarang makna jika gergasi Turin itu gagal mengekalkan rekod baik laman sendiri di pentas Eropah.

Juara Itali itu dijadual menentang kelab Sepanyol, Sevilla pada perlawanan pembukaan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara, awal pagi esok.

Bianconerri diangkat sebagai calon pilihan musim ini selepas membuat penambahan berkualiti, antaranya Gonzalo Higuain, Miralem Pjanic dan Dani Alves selepas tewas di final 2015.

Begitupun, Allegri menegaskan mengekalkan fokus bagi “aksi paling penting” dalam kempen itu lebih utama.

Kelab gergasi Itali itu tidak pernah tewas dalam 17 perlawanan Eropah di laman sendiri setakat ini dengan kekalahan terakhir ialah pada 2013 kepada Bayern Munich dan tidak pernah tewas pada perlawanan pembukaan untuk 16 kempen berturut-turut.

Italy Soccer Serie A

“Semua orang berkata yang kami adalah pilihan (Liga Juara-Juara).

Namun, kami perlu bekerja keras, secara mental bagi memastikan tidak akan terbawa-bawa dengan suasana itu.

“Perlawanan pertama Liga Juara-Juara adalah paling penting kerana ia boleh menetapkan nada bagaimana kami bermain sepanjang kejohanan dan juga di Serie A.

“Namun, seperti setiap tahun, kami mengambil satu langkah ke satu langkah. Kami tidak boleh memulakan spekulasi apa yang akan berlaku pada Mac atau April,” katanya.

Gergasi Turin itu tumbang kepada Barcelona pada final 2015 selepas gergasi Sepanyol itu merakam kemenangan 3-1 di Berlin. – AFP

 

ARTIKEL YANG SAMA