Juventus juara Piala Super Itali

Juventus juara Piala Super Itali

SHANGHAI, 9 Ogos (AFP) – Dua penyerang baru Juventus masing-masing menjaringkan gol pada penampilan sulung mereka ketika kelab Turin itu menewaskan Lazio 2-0 untuk menjulang Piala Super Itali di China semalam.

Penyerang antarabangsa Croatia Mario Mandzukic dan Argentina Paulo Dybala, yang ditandatangani pada musim panas ini dengan yuran dilaporkan masing-masing berjumlah 19 dan 32 juta euro, menggegarkan jaring Lazio pada babak kedua.

Kedua-dua pasukan menurunkan pasukan kuat dalam perlawanan di hadapan 60,000 penonton di Stadium Shanghai, tetapi tidak banyak aksi menarik yang ditawarkan pada malam itu kecuali persembahan pertama oleh trio pemuzik tradisional Cina.

Ia mengambil masa sehingga minit ke-26 sebelum penjaga gol kedua-dua pasukan dipaksa bekerja keras apabila pemain Juventus Stephan Lichtsteiner melepaskan rembatan kencang melepasi palang gol Lazio.

Babak pertama adalah agak tegang antara lain apabila pemain Juventus Paul Pogba banyak terlibat dalam kebanyakan aksi tetapi beliau tidak dapat menyempurnakan peluang untuk pasukannya.

Pada babak kedua, kedua-dua pasukan kelihatan sedikit bekerja keras dalam suhu petang yang lembap, tetapi tidak lama selepas rehat Pogba membuat kehadirannya dirasai dengan rembatan dari jarak 30 ela ke arah gawang Lazio tetapi tersasar.

Kebuntuan itu akhirnya dipecahkan pada minit ke-69 apabila Mandzukic membuat tandukan cantik satu hantaran silang.

Satu percubaan Lazio hampir menyamakan kedudukan beberapa minit kemudian apabila perancang Brazil Felipe Anderson merembat separuh voli dari tepi kotak tetapi berjaya diselamatkan oleh Gianluigi Buffon.

Bagaimanapun, tanpa membuang masa, Juventus melanjutkan pendahuluan mereka, apabila pada minit ke-73 Pogba dengan kemas mengawal bola tinggi di luar kotak untuk membolosi gawang Dybala.

ARTIKEL YANG SAMA