Juventus jula...

Juventus julang Piala Itali

ROM, 18 Mei – Dani Alves dan Leonardo Bonucci masing-masing menjaringkan satu gol untuk memastikan Juventus menjulang kejuaraan kali ketiga berturut-turut Piala Itali selepas melengkapkan kemenangan 2-0 ke atas Lazio di Stadio Olimpico, awal pagi tadi.

Juventus yang menang saingan liga dan piala sejak dua musim lalu kini boleh mencipta sejarah dengan memastikan kejuaraan Serie A buat kali keenam berturut-turut jika berjaya memastikan kemenangan ke atas Crotone, Ahad ini.

Selain itu, skuad bimbingan Massimiliano Allegri itu turut dijadual bertemu Real Madrid di final Liga Juara-Juara di Cardiff, bulan depan dalam satu situasi yang jelas menggusarkan gergasi Sepanyol itu.

Beberapa hari selepas dipalit kekalahan mengejut susulan kekalahan 3-1 kepada kelab tetangga Lazio, AS ROma, Juventus kini boleh mendabik dada namun bagi Allegri, dia mengharapkan prestasi yang lebih baik bagi pertembungan dengan Crotone.

“Kemenangan ini beri suntikan semangat buat kami untuk menghadapi perlawanan Ahad ini. Kami begitu mahu melengkapkan aksi saingan itu dengan kejuaraan,” kata Allegri.

Para pemain Juventus meraikan kejayaan merangkul Piala Itali selepas menewaskan Lazio di Stadium Olimpik Rom kelmarin. – AFP
Para pemain Juventus meraikan kejayaan merangkul Piala Itali selepas menewaskan Lazio di Stadium Olimpik Rom kelmarin. – AFP

“Pemain mempamerkan aksi secara teknikal dan bertahan dengan baik, lebih cemerlang berbanding perlawanan dengan AS Roma minggu lalu.”

Bagi Bonucci, kemenangan ke atas Lazio penting buat Juventus terutama untuk memastikan sasaran kelab pada musim ini berjaya dicapai.

“Ahad ini menjadi satu lagi aksi final buat kami. Kami perlu memastikan objektif ini dan kemudiannya boleh beralih kepada perlawanan di Cardiff nanti,” kata Bonucci.

Lazio yang menjulang trofi buat kali terakhir pada 2013 berharap untuk mencontohi Roma menghantar Juve kembali ke Turin dengan penuh rasa takut.

Walaupun pemain Simone Inzaghi bergelut mencari rentak, Lazio mensia-siakan beberapa peluang dan gagal mengekang kelincahan perancang Argentina Paulo Dybala.

Inzaghi yang enggan menyalahkan pemainnya berkata: “Ada beberapa kesulitan tetapi kami datang menentang Juve yang kuat. Saya minta maaf tidak memberikan kegembiraan kepada peminat dan pemain tetapi kami perlu melihat secara positif.”

Sokongan Lazio yang agak besar telah memberikan harapan pada minit awal pembukaan apabila Keita Balde menyaksikan rembatannya dari sudut sukar untuk mengelak penjaga gol Norberto Neto tersasar jauh dari tiang gol. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA