Juventus, kami tak gentar

Juventus, kami tak gentar

TURIN, 3 Jun (Reuters) – Claudio Marchisio me­negaskan meskipun Juventus me­rupakan pasukan picisan namun mereka tidak gentar untuk meng­hadapi Barcelona dalam perlawanan akhir Liga Juara-juara pada Sabtu ini.

Kedua-dua pasukan mempu­nyai misi yang sama di Berlin iaitu merangkul gelaran treble selepas masing-masing telah menjulang dua trofi domestik.

Namun, kedudukan Juventus mungkin berada dalam bahaya kerana Barca kini berada di tahap terbaik, khususnya bintang mereka Lionel Messi yang menjadi inspirasi ketika mereka menumpaskan Athletic Bilbao 3-1 dalam perlawanan akhir Copa del Rey.

Bagaimanapun pemain tengah Juve, Marchisio yakin bahawa juara Serie A itu mampu melakukan kejutan di pentas akhir kelak selepas kali terakhir mereka memenangi kejohanan berprestij di Eropah itu 11 tahun yang lalu.

“Kami gembira sebab jika kita lihat pada awal musim tiada sesiapa dapat menewaskan kami di pentas akhir,” kata pemain Itali itu.

Orang ramai melintasi papan iklan perlawanan akhir Liga Juara-Juara di Brandenburg Gate, Berlin. – Reuters
Orang ramai melintasi papan iklan perlawanan akhir Liga Juara-Juara di Brandenburg Gate, Berlin. – Reuters

“Kami mengharungi minggu seperti biasa namun kekal fokus dan melakukan persediaan rapi sebab kami akan bertemu pasukan yang hebat.

“Kami perlu fokus, kami bakal jumpa pasukan yang memiliki tiga penyerang yang hebat, mereka te­lah menjaringkan 120 gol dan kami tahu mereka sangat berpotensi dan sebab itu kami perlu kerja keras, kami ada motivasi dan perlu fikir dalam melakukan persiapan menjelang perlawanan akhir nanti.

“Kami mempunyai peluang dan mahu mempamerkan persembahan terbaik. Kami menghormati lawan yang hebat seperti Barcelona namun kami tidak gentar untuk berdepan dengan mereka,” katanya lagi.

Dalam pada itu, bekas penyerang Manchester City, Carlos Tevez dijangka memainkan peranan penting jika Juventus berjaya menjulang trofi kejohanan buat kali ketiga dan Marchisio menghambur pujian kepada pemain Argentina itu.

“Apa lagi yang perlu kita katakan mengenai Carlos? Sejak dia menyer­tai kelab ini dia telah pun diterima dengan baik.

“Dia kerap muncul dengan cara yang salah, ramai orang fikir dia pemain bermasalah namun dia sangat merendah diri. Dia merupakan salah satu kekuatan skuad dan tunjang kami,” kata Marchisio.