Juventus kukuhkan penguasaan

Juventus kukuhkan penguasaan

TURIN, 29 Feb (AFP) – Alvaro Morata yang masuk sebagai pemain gantian menyudahkan sepakan penalti pada lewat permainan untuk mengesahkan kemenangan 2-0 Juventus ke atas Inter Milan, awal pagi tadi.

Kemenangan itu sekali gus meletakkan pasukan juara bertahan berkenaan selesa mendahului dengan empat mata di puncak Serie A.

Beberapa hari selepas terselamat dalam Liga Juara-Juara dengan keputusan seri 2-2 di gelanggang sendiri berdepan Bayern Munich, Juventus mengalu-alukan kedatangan skuad pelawat yang dibimbing Roberto Mancini dalam usaha untuk menjarakkan lagi jurang mata dengan pencabar utama, Napoli.

Selepas mendominasi separuh masa, tuan rumah memecah kebuntuan dua minit selepas rehat apabila Leonardo Bonucci mengatasi pemain tengah Inter, Danilo D’Ambrosio dengan tandukan sebelum ia disambung dengan sepakan voli Samir Handanovic.

Morata menggantikan penyerang Juve, Paulo Dybala lapan minit sebelum tamat, dan dua minit kemudian dia menyudahkan sepakan penalti.

Alvaro meraikan kejayaan selepas menjaringkan gol ketika menentang Inter Milan. – Reuters
Alvaro meraikan kejayaan selepas menjaringkan gol ketika menentang Inter Milan. – Reuters

“Ia bukan perlawanan mudah malam ini dengan padang basah dan pemain terjatuh di sekitarnya, tetapi semua pemain melakukan yang terbaik untuk mengawal permainan dan mencatat kemenangan berharga,” kata pengurus Juventus, Massimiliano Allegri.

“Kami sudah selangkah mendahului salah satu daripada pesaing utama dalam perlumbaan mengejar kejuaraan.

“Sekarang, kami berada dalam kedudukan yang mana kami boleh memenangi gelaran kelima berturut-turut dan yang tidak pernah berlaku sejak tahun 1935.”