Juventus perah keringat

Juventus perah keringat

MILAN, 3 Mac – Juara bertahan, Juventus diheret ke penentuan sepakan penalti dalam laluan beraksi di pentas final Piala Itali buat kali kedua berturut-turut sebelum menewaskan Inter Milan 5-3, semalam.

Juventus yang melakar kejuaraan berganda dalam tempoh 20 tahun Mei lalu, dijadualkan bertemu AC Milan pada pentas final di Stadium Olimpik 21 Mei depan.

Inter jelas mendominasi perlawanan yang berlangsung dalam hujan, dengan jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri akhirnya kesal dengan keputusannya mempertaruhkan barisan kedua.

Selesa dengan bekalan 3-0 dalam perlawanan separuh akhir pertama, Allegri merehatkan penjaga gol, Gianluigi Buffon dan penyerang Mario Mandzukic, sementara Giorgio Chiellini, Claudio Marchisio dan Martin Caceres kesemuanya cedera.

Selepas persembahan buruk sebelum ini, pengurus Inter, Roberto Mancini berjaya mendorong pasukannya bangkit untuk mendahului 2-0 dalam tempoh 49 minit perlawanan hasil gol Marcelo Brozovic dan Ivan Perisic.

Morata menjaringkan gol melalui sepakan penalti di Stadium Turin, kelmarin. – Reuters
Morata menjaringkan gol melalui sepakan penalti di Stadium Turin, kelmarin. – Reuters

Brozovic kemudiannya menjaringkan gol kedua menerusi sepakan penalti lapan minit sebelum tamat perlawanan untuk menyamakan agregat 3-3 sekali gus menyaksikan perlawanan diheret ke masa tambahan.

Pemain pertahanan, Leonardo Bonucci menyempurnakan sepakan penalti kelima dan terakhir Juventus namun dia bakal terlepas aksi final kerana penggantungan. “Kami membuat perlawanan ini lebih sukar buat diri sendiri, saya rasa malam ini kami bermain dengan teruk sejak saya bersama Juventus.

“Kami bernasib baik kerana… kami tidak mempunyai pendekatan yang betul untuk permainan ini. Inter tidak ada apa yang rugi, dan kami memudahkan mereka,” kata Bonucci.

ARTIKEL YANG SAMA