Juventus tewaskan Sampdoria 2-1

Juventus tewaskan Sampdoria 2-1

MILAN, 11 Jan (AFP) – Juventus terlebih dulu ‘menderita’ sebelum berjaya menewaskan Sampdoria 2-1 semalam dan menjangkakan ‘kesukaran’ untuk menghampiri persada Serie A, kata pengendalinya Massimiliano Allegri.

Berada di atas zon penyingkiran selepas perlawanan pertama musim ini, gergasi Turin itu kembali menyalakan harapan untuk mencipta rekod gelaran kelima berturut-turut liga selepas memanjat dua anak tangga ke tempat kedua dengan hanya ketinggalan dua mata di belakang pendahulu Napoli.

Inter Milan tergelincir ke tangga ketiga, juga 38 mata, susulan kekalahan mengejut 1-0 kepada Sassuolo manakala Fiorentina pula keempat, kekurangan satu mata selepas tunduk di tangan Lazio 3-1, kelmarin.

Juventus kelihatan pasti meraih kemenangan kesembilan berturut-turut sepanjang kempen selepas Sami Khedira menambah kepada jaringan pembukaan Paul Pogba pada minit ke-17 apabila dia mengutip bola hantaran licik Paulo Dybala untuk menewaskan penjaga gol Sampdoria, Emiliano Viviano.

Tetapi penyerang veteran Antonio Casano mengecilkan jurang itu pada minit ke-64 dan Sampdoria tidak bernasib baik untuk sekurang-kurangnya berkongsi mata selepas mereka mensia-siakan beberapa peluang di akhir permainan.

“Sampdoria bermain baik di hujung permainan,” akui Allegri dalam sidang media selepas perlawanan.

“Ia adalah kemenangan hebat untuk kami, tetapi kami terpaksa menderita. Memenangi sembilan aksi berturut-turut bukannya mudah dan naik dua kedudukan ke tempat kedua adalah satu pencapaian besar buat kami.”