JW FT musnahkan harapan Azmainshah

JW FT musnahkan harapan Azmainshah

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Ogos – JW FT memusnahkan harapan Azmainshah apabila menjaringkan dua gol pada dua minit terakhir perlawanan Kumpulan D Futsal Piala Perdana TelBru 2015 kelmarin untuk muncul sebagai pemenang dengan jaringan 3-2.

Ahmad Murtadha membawa JW FT lebih awal di depan pada minit ketiga untuk perlawanan di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu berubah kedudukan kepada 1-0.

Di sebalik gol awal itu, kedua-dua pasukan gagal menjaringkan sebarang gol lagi pada separuh masa pertama perlawanan. Namun lima minit selepas rehat Azmainshah berjaya menjadikan kedudukan seimbang 1-1 apabila Suzeemin berjaya membolosi gawang JW FT.

Md Rafiuddin menjadikan kedudukan 2-1 memihak kepada Azmainshah apabila berjaya merembat bola masuk pada minit ke-34. Azmainshah dilihat mampu mengutip tiga mata penuh, namun sebaliknya berlaku apabila Mohd Nathan Kasah menjadikan kedudukan 2-2 pada minit ke-39 dan selang seminit kemudian kedudukan menjadi 3-2 memihak kepada JW FT menerusi jaringan Mohd Nabil.

Kemenangan itu membolehkan JW FT mengetuai Kumpulan D, diekori oleh Kota Ranger FT dan MBS United SC yang berkongsi satu mata selepas terikat 4-4 dalam perlawanan lebih awal.

JW FT (merah) menjaringkan dua gol lewat sebelum menang 3-2 ke atas Azmainshah.
JW FT (merah) menjaringkan dua gol lewat sebelum menang 3-2 ke atas Azmainshah.

MBS United SC mendahului 2-1 pada separuh masa pertama, dengan jaringan pertama terhasil pada minit ke-11 oleh Mohd Solehin sebelum disamakan oleh Mohd Radhi pada minit ke-15. Namun Mohd Waliyuddin sempat menjaringkan gol kedua MBS United pada minit terakhir babak pertama untuk membawa kedudukan 2-1 ke babak kedua.

Lima minit selepas rehat kedudukan kembali seimbang apabila Awangku Mohd Ridha menjaringkan gol kedua Kota Ranger. Mohd Radhi menjaringkan gol ketiga Kota Ranger pada minit ke-33 untuk menjadikan kedudukan 3-2. Dua minit berselang, Kota Ranger bertambah selesa dengan pendahuluan dua gol menerusi jaringan Mohd Haffizul.

Pada kedudukan 4-2, Kota Ranger dilihat akan berjaya mengutip tiga mata penuh, namun Awangku Mohd Azim muncul menjadi penyelamat MBS United dengan dua jaringan pada minit ke-38 dan ke-39 untuk mengikat kedudukan 4-4.

ARTIKEL YANG SAMA