K.N. Nursery adakan jualan hujung tahun

K.N. Nursery adakan jualan hujung tahun

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Dis – Bagi menepati komitmen syarikat yang berterusan melalui penyediaan produk dan perkhidmatan berkualiti kepada pelanggan dan orang ramai, Syarikat K.N.Nursery (B) Sdn Bhd akan mengadakan promosi Jualan Hujung Tahun di Rumah Hijau No.1, Taman Agro Teknologi Brunei (ATP), Kampung Tungku bermula esok (18 Disember) hingga 10 Januari 2016.

Untuk promosi ini, pihak syarikat telah menyediakan pelbagai pilihan tanaman berkualiti tinggi yang telah dihasilkan dari dalam negeri dan yang diimport bersesuaian untuk keperluan hiasan dalaman mahupun untuk tanaman di luar rumah.

Sebagai tambahan pada promosi jualan yang telah diadakan pada tahun lepas, pihak syarikat akan menawarkan lebih banyak bunga-bungaan yang berwarna-warni termasuk bunga orkid, ros, pelbagai jenis kaktus dan tanaman hiasan yang bersesuaian sebagai hiasan dalaman.

Selain daripada tanaman hiasan dan bunga-bungaan, pihak syarikat juga akan menawarkan pelbagai pilihan pasu seramik yang berhias, baja sebatian yang larut cepat dan perlahan, bahan tanaman, bekas tanaman yang berwarna-warni serta ketulan batu-batu hiasan.

Potongan harga sebanyak 20 peratus juga akan diberikan untuk kesemua produk jualan tersebut sebagai menghargai sokongan yang berterusan dan pembelian daripada para pelanggan.

Di samping memberikan tawaran harga yang menarik dan atas sambutan yang menggalakkan daripada para pelanggan pada tahun lepas, pihak syarikat sekali lagi akan menawarkan promosi Belian Atas Belian atau ‘Purchase With Purchase (PWP)’ bagi produk-produk yang terpilih antaranya ialah pasu-pasu berwarna-warni, tanaman hiasan dan bunga-bungaan dengan potongan harga serendah 20 peratus.

Promosi jualan ‘Pre-Order’ bagi tanaman yang dihias dalam pasu dan susunan bunga orkid yang telah mendapat sambutan menggalakkan pada tahun lepas juga akan diperkenalkan lagi pada promosi kali ini, di mana lebih banyak pilihan bunga-bungaan dalam pasu dan pelbagai jenis orkid akan ditawarkan seperti yang terdapat dalam katalog baru yang boleh didapati di Rumah Hijau ATP atau melalui WhatsApp.

Borang tempahan awal yang terkandung dalam katalog tersebut boleh diperoleh dengan memuat turun menerusi Facebook syarikat iaitu ‘Agro Technology Park–ATP Green House’ atau melalui e-mel ke knn@brunet.bn atau menghubungi Rumah Hijau ATP di talian 7198904 dan Awang Jamalludin di talian 8625354.

ARTIKEL YANG SAMA