Kabel dasar laut SEA-ME-WE 5 siap dipasang

Kabel dasar laut SEA-ME-WE 5 siap dipasang

SINGAPURA, 11 Mac (Bernama) – Kabel dasar laut Asia Tenggara-Timur Tengah-Eropah Timur 5 (SEA-ME-WE 5) berjaya dipasang oleh Singtel di Tuas, Singapura.

Sistem kabel SEA-ME-WE 5 itu sedang dibangunkan oleh konsortium yang terdiri daripada 17 peserta global, termasuk Telekom Malaysia.

Di pihak Malaysia, Telekom Malaysia selesai memasang kabel SEA-ME-WE 5 di Melaka pada Januari tahun ini.

Singtel, dalam gambarannya mengenai keupayaan kabel berkenaan dilaporkan berkata bahawa ‘ia membolehkan 4,800 filem definisi tinggi dimuat turun dalam tempoh sesaat’.

Berdasarkan kemajuannya, projek pemasangan 20,000 kilometer kabel itu dijangkakan siap menjelang hujung tahun.

Syarikat telekomunikasi itu berkata kabel itu dijangka memenuhi permintaan empat kali ganda jalur lebar antara Eropah dan Asia dari 2016 hingga 2021.

Sistem kabel itu menyediakan kapasiti 24 terabit sesaat menggunakan teknologi transmisi optik 100 gigabait sesaat.

Projek SEA-ME-WE 5, yang akan menghubungkan 17 buah negara dari Perancis sehingga ke Indonesia, bermula pada September 2014, katanya.

ARTIKEL YANG SAMA