Kabinet Israel setuju paksa banduan mogok lapar makan

Kabinet Israel setuju paksa banduan mogok lapar makan

BAITULMAQDIS, 15 Jun (AFP) – Menteri-menteri Israel semalam meluluskan rang undang-undang yang akan membolehkan para banduan yang mengadakan mogok lapar dipaksa makan jika nyawa mereka dalam keadaan bahaya, sekali gus mencetuskan kritikan daripada para pakar kesihatan dan kumpulan hak asasi manusia.

Kelulusan Kabinet ke atas rang undang-undang berkontroversi itu diketuai oleh Menteri Dalam Negeri Gilad Erdan, yang berkata para banduan yang mengadakan mogok lapar, terutamanya warga Palestin, merupakan “ancaman” kepada Israel.

“Selain percubaan untuk memboikot dan menjejaskan maruah Israel, mogok lapar dalam penjara kini menjadi suatu ancaman kepada Israel,” kata Erdan di laman akaun Facebook beliau.

Rang undang-undang yang sama diluluskan oleh kerajaan Israel tahun lepas dan dikemukakan ke Parlimen untuk perbahasan tetapi Knesset dibubarkan sebelum ia sempat dilaksanakan.

Rang undang-undang itu pada awalnya diluluskan pada Jun 2014 ketika kejadian mogok lapar besar-besaran di kalangan banduan warga Palestin sehingga menyebabkan 80 orang terpaksa dimasukkan ke hospital.

Gambar fail menunjukkan Menteri Dalam Negeri Israel, Gilad Erdan, bersama Perdana Menteri Benjamin Netanyahu (tengah) ketika sesi sidang media selepas mesyuarat kabinet. – AFP
Gambar fail menunjukkan Menteri Dalam Negeri Israel, Gilad Erdan, bersama Perdana Menteri Benjamin Netanyahu (tengah) ketika sesi sidang media selepas mesyuarat kabinet. – AFP

Pengerusi Persatuan Perubatan Israel (IMA), Leonid Eidelman, menyelar rang undang-undang itu, sambil berkata memaksa para banduan makan adalah “tidak beretika.”

Dalam surat yang ditujukan kepada Erdan dan Menteri Keadilan Ayelet Shaked, Eidelman juga menegaskan bahawa IMA akan “mengarahkan para doktor supaya bertindak secara beretika dan tidak memaksa banduan yang melakukan mogok lapar.”

Persatuan Hak Asasi Awam di Israel pula menekankan bahawa perbuatan memaksa makan adalah dilarang sama sekali.

ARTIKEL YANG SAMA