Kabinet Thailand bakal dirombak

Kabinet Thailand bakal dirombak

BANGKOK, 13 Ogos – Kabinet Thailand bakal dirombak, bagaimanapun senarai mereka yang terlibat belum dimuktamadkan, kata Perdana Menteri Gen Prayuth Chan-ocha.

“Tiada siapa yang tahu (yang akan mengganti dan diganti),” kata Gen Prayuth kepada soalan media sama ada menteri sedia ada dan bakal calon telah pun tahu tentang rombakan itu.

Gen Prayuth berkata beliau kini sedia untuk mendapatkan perkenan diraja bagi melakukan rombakan Kabinet itu, namun ini bergantung sama ada muka baharu ingin menerima jawatan itu manakala menteri sedia ada pula mahu berundur.

“Bagaimanapun ada orang yang mahu beredar sejak lama dahulu,” katanya di rumah kerajaan di sini hari ini.

Beliau menafikan pernah memaklumkan kepada seseorang untuk dilantik sebagai menteri baharu, namun menyatakan bahawa beliau akan menukar kedudukan menteri terbabit berdasarkan kewajaran.

Perdana Menteri Thailand ketika mengumumkan rombakan kabinet. – Reuters
Perdana Menteri Thailand ketika mengumumkan rombakan kabinet. – Reuters

Gen Prayuth berkata semua pihak perlu menerima rombakan yang bakal dilakukan itu selepas ulang tahun pertama pentadbiran kerajaannya yang dibentuk pada September tahun lepas.

Beliau enggan mengesahkan nama yang disebut-sebut dalam rombakan itu, antaranya tokoh dalam hal ehwal antarabangsa dan ekonomi seperti bekas Setiausaha Agung Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Supachai Panitchpakdi, bekas Menteri Hal Ehwal Luar Surakiet Satienthai, bekas Setiausaha Agung ASEAN Surin Pitsuwan dan bekas Gabenor Bank of Thailand Prasarn Trairatvorakul. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA