Kabul ditutup ekoran bantahan

Kabul ditutup ekoran bantahan

KABUL, 16 Mei (AFP) – Ibu negara Afghanistan ditutup hari ini tatkala beribu-ribu penduduk Hazaras Syiah melancarkan bantahan mengenai talian penghantaran elektrik bernilai berjuta-juta dolar, dalam apa yang mungkin berubah menjadi krisis politik untuk kerajaan.

Anggota keselamatan menyekat persimpangan utama dengan kontena kapal yang disusun di Kabul tatkala pembantah berusaha berarak ke istana presiden, menuntut talian elektrik yang menghubungkan Asia tengah melalui kawasan tengah yang dikuasai oleh Hazara.

Bantahan memaparkan pergolakan politik di negara itu dan menyusuli satu rapat besar-besaran pada November lalu yang dicetuskan oleh pemenggalan kepala sekumpulan penduduk Hazara, yang melambangkan perasaan tidak puas hati yang meningkat dengan rejim Presiden Ashraf Ghani.

“Berpuluh ribu orang dijangka menyertai bantahan dan perarakan besar-besaran ke istana presiden,” beritahu penggubal undang-undang Hazara Arif Rahmani kepada AFP.

“Kami mahu talian elektrik merentasi kawasan Bamiyan, yang tidak melihat pembangunan dalam 15 tahun. Kami menuntut keadilan, bukan kebajikan.”

Polis Afghanistan menyekat jalan di Kabul dengan kontena kapal bagi menghalang perarakan bantahan besar-besaran oleh ahli-ahli kumpulan etnik minority kelmarin. – AP
Polis Afghanistan menyekat jalan di Kabul dengan kontena kapal bagi menghalang perarakan bantahan besar-besaran oleh ahli-ahli kumpulan etnik minority kelmarin. – AP

Talian elektrik TUTAP 500 kilovolt, yang akan menghubungkan negara Asia Tengah Turkmenistan, Uzbekistan dan Tajikistan dengan Afghanistan dan Pakistan, dianggap satu projek infrastruktur penting di rantau itu.

Namun ia telah dibelenggu oleh kontroversi, dengan pemimpin daripada kumpulan minoriti menuntut talian diputuskan di Bamiyan, yang mempunyai ramai penduduk Hazara.

Talian itu pada asalnya dijangka melalui wilayah tengah tetapi kerajaan memutuskan untuk menyambungkannya menerusi genting Salang di utara Kabul, berkata jalan yang lebih pendek itu akan mempercepat projek dan menjimat kos berjumlah berjuta-juta dolar.

Pemimpin Hazara di negara itu mengecam presiden Pashtun, berkata keputusan untuk melencongkan talian menunjukkan dasar diskriminasi kerajaan.