KACA komited tingkat latihan, pembelajaran warganya

KACA komited tingkat latihan, pembelajaran warganya

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Jan – Persatuan Kanak-kanak Cacat (KACA) terus komited untuk melaksanakan pelbagai program dan rancangan jangka masa pendek dan panjang untuk meningkatkan lagi program latihan dan pembelajaran bagi ahli-ahlinya.

Salah satu perancangan jangka masa panjang adalah meneruskan usaha melaksanakan program menabung KACA bagi tempoh lima tahun iaitu bermula 2016 hingga 2020, jelas Pengarah Urusan KACA, Haji Awang Abdul Alim bin Haji Awang Othman dalam ucapan alu-aluannya semasa Majlis Penyampaian Sijil dan Hadiah Program 2015 serta Penyampaian Bantuan bagi Membeli Peralatan Sekolah untuk Kanak-kanak Yatim KACA bagi 2016 yang berlangsung di Pusat KACA, Bandar Seri Begawan (BSB), hari ini.

Menurutnya, pelbagai perancangan telah dibuat bagi warga KACA dan ibu bapa mereka pada 2016 termasuk mengadakan Sukan Ria KACA Peringkat Kebangsaan, yang dijadualkan akan diadakan pada bulan Mac nanti di Daerah Belait dan program lawatan sambil belajar ke pusat-pusat Orang Kurang Upaya (OBK) di Semenanjung Malaysia pada bulan yang sama bagi ibu bapa serta kakitangan KACA.

Selain itu, KACA juga akan mengadakan peraduan Senyum ‘KACA Kusayang’ sempena Hari Kanak-kanak Sedunia pada bulan November nanti serta peraduan mewarna dan melukis peringkat Kebangsaan dan ASEAN 2016 bersempena Hari Antarabangsa OBK pada bulan Disember nanti.

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada semua ibu bapa atas kerjasama dan bantuan yang dihulurkan sepanjang tahun lalu serta kepada para dermawan yang prihatin kepada KACA sepanjang 2015 dengan setiap sumbangan dan bantuan yang dihulurkan itu amat berharga bagi KACA.

pg05_160114_a

pg05_160114_c

Dato Paduka Haji Zainal ketika menyampaikan sumbangan pada majlis tersebut.
Dato Paduka Haji Zainal ketika menyampaikan sumbangan pada majlis tersebut.

Hadir menyempurnakan penyampaian sijil, hadiah serta bantuan kepada para penerima pada majlis berkenaan ialah Presiden KACA, Dato Paduka Haji Zainal bin Haji Momin.

Semasa majlis tersebut, Dato Paduka Haji Zainal juga menyampaikan sumbangan bantuan bagi membeli peralatan sekolah kepada enam orang anak yatim, di mana dengan sumbangan itu diharap dapat meringankan beban ibu atau penjaga kanak-kanak tersebut bagi membuat pembelian peralatan sekolah mereka bagi 2016.

Dato Paduka Haji Zainal turut menyampaikan sijil dan hadiah program serta kegiatan 2015 kepada kanak-kanak KACA yang aktif, ibu bapa yang banyak bekerjasama sepanjang 2015 serta kepada sukarelawan yang membantu KACA.

Majlis penyampaian sijil dan hadiah itu diharap dapat memberikan galakan kepada kanak-kanak KACA untuk hadir dalam kegiatan atau program KACA, di mana sijil dan hadiah telah diberikan kepada kanak-kanak KACA yang aktif mengikuti program luar pusat seperti lawatan dan sukan sepanjang 2015.

Cenderamata turut disampaikan kepada ibu bapa yang banyak memberikan kerjasama pada tahun 2015 serta memberikan bantuan dan aktif mengikuti program KACA sepanjang tahun lalu termasuk ikut serta dalam lawatan luar Pusat KACA.