Kacang putih terbaik di Malaysia

Kacang putih terbaik di Malaysia

Oleh Nurul Halawati Azhari

 

IPOH, 18 Okt – Kata orang, kacang putih terbaik datangnya dari Kampung Kacang Putih di Buntong, Perak.

Mana tidaknya, sudah hampir 50 tahun kampung ini wujud dan daripada 50 buah keluarga yang menetap di situ, 40 daripadanya adalah pengusaha kacang putih yang digelar sebagai Makanan Ringan 1Malaysia.

Muruku campur, pakoda, sivel, dal, aulu, poori, pakoda srilanka, omom, kadalai, kacang susu dan kerepek ubi adalah antara 50 jenis kacang putih yang boleh didapati di mana-mana kedai yang dikunjungi jika berkunjung ke kampung berkenaan.

Ada juga yang menjual manisan seperti laddu, jalebi dan athirasam. Perusahaan itu amat dibanggakan oleh warga Kampung Kacang Putih. Malah kebanyakan pengusaha produk itu yang ditemui sangat berbesar hati dan bersungguh-sungguh menceritakan tentang Kampung Kacang Putih.

Bagi mereka,‘kacang putih’ adalah lambang dan simbol kejayaan keluarga dan masyarakat kampung berkenaan yang letaknya kira-kira lapan kilometer dari Pusat Bandaraya Ipoh.

Sempurna Kacang Putih adalah kedai dan kilang kedua milik pengusaha kacang putih dari Kampung Kacang Putih Buntong di Ipoh.
Sempurna Kacang Putih adalah kedai dan kilang kedua milik pengusaha kacang putih dari Kampung Kacang Putih Buntong di Ipoh.
Jayabalan dan isterinya G.Sagunthala bersama dua daripada enam orang anak mereka bergambar di kedai Sempurna Kacang putih yang baru dibuka dua bulan lepas.
Jayabalan dan isterinya G.Sagunthala bersama dua daripada enam orang anak mereka bergambar di kedai Sempurna Kacang putih yang baru dibuka dua bulan lepas.

Ini kerana penduduk kampung berkenaan adalah bersaudara. Menurut seorang peniaga kacang putih yang boleh ditemui di Stesen Bas Ipoh, Thanggaraja Solayapan, 57, penduduk perkampungan itu berasal dari kaki Gunung Cheroh, Ipoh, Perak. Iaitu berhampiran dengan Kuil Sri Subramaniar yang sering dikunjungi ramai penganut Hindu di Perak untuk meraikan Thaipusam.

Mereka berhijrah dari Tamil Nadu, India ke Tanah Melayu sejak abad ke-19 dan menetap di kaki gunung batu kapur itu. Kumpulan ini berjualan kacang putih secara kecil-kecilan sebagai sumber pendapatan sampingan.

Cerita Thanggaraja lagi, berlaku satu kejadian batu kapur runtuh pada tahun 70-an menyebabkan mereka kehilangan ramai ahli keluarga dan akhirnya ditempatkan oleh pihak kerajaan negeri di penempatan baharu di Buntong sehinggalah sekarang.

Oleh kerana perusahaan kacang putih telah lama menjadi sumber pendapatan, mereka sepakat meneruskan tradisi itu yang kekal hingga ke hari ini.

Selain berjaya memelihara tradisi keluarga, mereka juga berjaya membuktikan dengan menjual kacang putih, mereka mampu memberi keselesaan kepada keluarga dan menghantar anak menyambung pelajaran.

Malah kini dapat pula membantu masyarakat sekitar dengan memberikan peluang perniagaan sebagai pengedar dan penjual serta peluang pekerjaan bagi yang bekerja di kilang memproses makanan ringan itu.

Tiga Generasi

Bagi C.Jayabalan, 65, yang menjalankan Perniagaan JB Buntong Kacang Putihdan Sempurna Kacang Putih, bisnes keluarganya hari ini tidak lagi hanya berkisar di rumah, stesen bas, rumah ke rumah, bawah pokok dan kantin sekolah sahaja.

Beliau mewarisi perniagaan kacang putih dari mendiang ayahnya Chinnasamy Nadar. Jika dahulu si ayah hanya menjual kacang putih dengan menjunjung di kepala, Jayabalan meneruskannya dengan berjualan dari rumah ke rumah.

Dari berjalan kaki, Jayabalan membeli basikal, kemudian motosikal hingga akhirnya berjualan dengan van. Masa terus beredar dan atas usaha yang gigih dan berterusan bersama isterinya, G. Sagunthala, 51, beliau kini telah membuka dua buah kilang dan kedai di kawasan ini.

Menurut Jayabalan, sehingga kini beliau masih mengekalkan resipi mendiang ayahnya dan bakal diwariskan pula kepada anak-anaknya kelak. Bagaimanapun menurut Jayabalan, sebagai pengusaha, beliau dan isterinya sering berusaha menghasilkan resipi-resipi kacang putih baharu.

“Dulu-dulu kita guna minyak kelapa. Tetapi ramai juga yang kurang suka. Tapi bila tukar kepada minyak kelapa sawit, sambutannya amat baik dan kekal hingga ke hari ini.

Kena sentiasa mencuba resipi-resipi baru supaya dapat memenuhi selera pelanggan,” katanya kepada Bernama.

Antara pelanggan yang berkunjung ke Sempurna Kacang Putih milik C. Jayabalan dari Kampung Kacang Putih Buntong, Ipoh.
Antara pelanggan yang berkunjung ke Sempurna Kacang Putih milik C. Jayabalan dari Kampung Kacang Putih Buntong, Ipoh.
Seorang pekerja di Kilang JB Buntong Kacang Putih menapis muruku jenis Sivel sebelum dibungkus untuk dipasarkan.
Seorang pekerja di Kilang JB Buntong Kacang Putih menapis muruku jenis Sivel sebelum dibungkus untuk dipasarkan.

Daripada 40 jenis muruku dan kekacang yang dihasilkan syarikatnya, Jayabalan telah menghasilkan lima jenis resipi kacang putih baharu yang dinamakannya Star, Sivel, Kalistar, Kari Muruku dan Ramba. Terbaharu pada tahun ini syarikatnya berjaya menghasilkan Kalistar.

Rasanya lebih pedas dan sedikit manis tetapi sangat rangup sehingga penulis sendiri tidak berhenti mengunyahnya.

Selain memiliki pelanggan tetap, kacang putih keluaran mereka turut laris di kalangan orang ramai yang datang berkunjung ke kampung ini. Malah pada musim-musim perayaan sama ada Hari Raya Puasa, Hari Raya Haji, Tahun Baru Cina mahupun Deepavali, pendapatan kasar syarikatnya mencecah sehingga RM80,000.

Menjelang Deepavali nanti, pihaknya akan membuka khemah di hadapan kilang mereka dan mengadakan promosi istimewa sempena perayaan berkenaan.

Bahan Mentah

Menggunakan kira-kira 10,000 kg hingga 15,000 kg tepung sebulan, Jayabalan berpendapat perniagaan tersebut tidaklah semudah seperti memakan kacang putih.

Hakikatnya sebagai peniaga, beliau sentiasa perlu memastikan bahan mentah yang diperoleh adalah daripada bahan yang terbaik agar kualitinya tidak berubah.

“Harga bahan mentah turun naik di pasaran. Misalnya harga kacang dal yang tidak menentu. Kebanyakan bahan mentah adalah diimport terutamanya kacang dal.

Sebelum ini kita ambil dari India, kemudian permintaan yang banyak tidak dapat dipenuhi. Saya import dari Australia pula.

“Tetapi disebabkan currency kita jatuh, kos untuk kacang dhal jadi mahal dan kini kami dapatkan dari Ukraine pula,”jelasnya yang telah mencuba pelbagai gred dan jenis kacang dhal sebelum digunakan di kilangnya.

Selain itu, beliau turut mendapatkan bekalan lada hitam secara terus daripada pengeluar lada hitam di Sarawak.

Jika dahulu mereka memasak muruku dan kekacang menggunakan dapur kayu atau dapur minyak tanah, kini lebih mudah kerana penggunaan mesin dan diesel telah menggantikan tenaga manusia.

“Permintaan memang banyak, tetapi kita sering mengahadapi masalah tidak cukup pekerja. Pernah juga saya ambil pekerja Indonesia dan Bangladesh, tetapi tidak kekal lama. Lebih mudah cari pekerja tempatan sambil dibantu oleh isteri dan anak-anak,” luah Jayabalan dan turut memberitahu syarikatnya turut memohon Sijil Halal Jakim.

Generasi Penerus

Sungguhpun perusahaan ini berskala kecil bagi sesetengah peniaga, tetapi ia turut menyumbang kepada ekonomi negeri dan membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat.

Sebagai pengusaha, Thanggaraja, Jayabalan dan rakan-rakan yang lain tidak mahu dalam industri yang kecil ini, peniaga kacang putih terpaksa mengambil khidmat pekerja asing lantaran kekurangan tenaga kerja. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA