Kad gores prabayar WiFi TelBru diperkenalkan

Kad gores prabayar WiFi TelBru diperkenalkan

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Okt – Telekom Brunei Berhad (TelBru) memperkenalkan satu lagi ruang bagi orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan hotspot WiFi TelBru yang boleh didapati di lebih 80 lokasi seluruh negara susulan pelancaran kad gores prabayar, bertujuan untuk menjadikan data lebih mudah diakses.

Menurut kenyataan TelBru hari ini, sejak dilancarkan pada 9 September lalu, kad gores TelBru sebagai tambahan kepada perkhidmatan pembelian pra-bayar dalam talian TelBru, telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai.

Seperti dengan pembelian dalam talian, kad gores TelBru dijual pada harga $3 untuk satu hari tanpa had; $5 untuk akses tiga hari berjumlah 1GB data dan 500MB selama tiga hari pada harga $3.

Kad gores TelBru yang boleh didapati dalam tiga variasi.
Kad gores TelBru yang boleh didapati dalam tiga variasi.

“Kami amat teruja untuk memperkenalkan keupayaan data kami kepada penduduk-penduduk Brunei yang masih belum menikmati perkhidmatan jalur lebar. Kad-kad gores ini, di samping kemudahan pembelian dalam talian, diharap dapat memberi kemudahan kepada pengguna sebagai jaminan bahawa mereka juga boleh berhubung apabila mereka memerlukan akses kepada data,” kata Ketua Pegawai Pemasaran TelBru, Lim Ming Soon.

“Dengan akses WiFi juga disediakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, kami berharap perkhidmatan ini akan menaikkan imej Brunei sebagai sebuah negara yang maju serta turut memberi perhatian terhadap keperluan data oleh pelawat-pelawat asing.”

Orang ramai boleh membeli kad-kad gores itu di mana-mana cawangan TelBru di seluruh negara. TelBru juga bercadang untuk melibatkan penjual semula bebas untuk menyediakan kad-kad gores kepada orang ramai.

ARTIKEL YANG SAMA