Kad Pokemon dijual dengan harga AS$54,970

Kad Pokemon dijual dengan harga AS$54,970

LOS ANGELES, 22 Nov – Kad Pokemon yang jarang ditemui – ‘Pikachu Illustrator’ – telah dibeli dengan AS$ 54,970 di jualan lelong, kata penganjur jualan itu hari ini.

Heritage Auctions yang berpangkalan di Dallas berkata kad itu dijual kepada seorang pengumpul dari Hong Kong yang tidak dikenali pada jualan lelong Sabtu lalu di Beverly Hills.

“Kad ‘Pikachu Illustrator’ telah diberikan pada bulan Januari 1998 kepada pemenang Peraduan Ilustrasi Komik CoroCoro,” Michael Halperin, jurucakap Heritage Auctions, memberitahu AFP.

Beliau berkata, hanya 10 daripada kad itu dikeluarkan dan ia tidak jelas berapa ramai yang masih milikinya secara persendirian.

‘Pikachu Illustrator’ pertama kali dijual pada awal tahun 2000 dengan harga sekitar AS$23,000, kata Halperin.

Kad itu dianggap kad Pokemon yang paling berharga dan ikonik di kalangan pengumpul, yang telah direka oleh Atsuko Nishida, salah seorang dari ketua pelukis ilustrasi grafik Pokemon.

Kad itu menggambarkan Pikachu berwarna kuning yang menjadi kegemaran kepada peminatnya, memegang peralatan melukis.

Lelongan dibuat oleh pengumpul persendirian di Amerika Syarikat berikutan populariti aplikasi Pokemon Go, yang mempunyai lebih daripada 20 juta pengguna yang aktif.

Halperin berkata penjual yang berusia pertengahan 20-an dan tidak mahu dikenali, telah mula mengumpul kad Pokemon semasa masih remaja lagi.

Fenomena Pokemon muncul buat pertama kali di Jepun pada tahun 1996 sebelum menjadi sensasi global. – AFP