Kad Privilege diperkenal

Kad Privilege diperkenal

Oleh Hajah Saemah Kepli

SERIA, 6 Jun – Matlamat utama terbangunnya dua buah ba-ngunan Pusat Insani dan Pusat Boling antara lain adalah untuk menyediakan tempat beriadah dan meluangkan masa bersama keluarga bagi penduduk dan masyarakat di Kuala Belait dan Seria.

Kemudahan itu juga memberikan peluang kepada orang ramai untuk bersantai bersama keluarga bermain boling, menonton wayang serta menggunakan gim dan sebagainya bagi mengeratkan lagi ikatan kekeluargaan dan masyarakat.

Pengurus Rakan Kongsi Plaza Sutera Biru, Pengiran MN Joffren bin Pengiran Omar berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pelancaran Kad Privilege Plaza Sutera Biru di Pusat Boling di sini, baru-baru ini yang telah dihadiri oleh Pegawai Daerah Belait, Haji Haris bin Haji Othman selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan majlis tersebut.

Kad Privilege Plaza Sutera Biru yang baru diperkenalkan itu memberikan banyak keistimewaan bagi para pelanggan yang berkunjung ke Pusat Boling selain fasiliti yang terdapat di Pusat Insani Seria memandangkan kedua-dua bangunan tersebut di bawah pengurusan dan penjagaan Plaza Sutera Biru.

Menurut Pengiran MN Joffren lagi, para pelanggan yang memiliki kad privilege boleh melakukan pelbagai aktiviti di kedua-dua pusat berkenaan dengan bayaran yang berpatutan.

Haji Haris bersama Pengiran MN Joffren semasa Majlis Pelancaran Kad Privilege Plaza Sutera Biru kelmarin.
Haji Haris bersama Pengiran MN Joffren semasa Majlis Pelancaran Kad Privilege Plaza Sutera Biru kelmarin.

“Ini adalah salah satu inisiatif yang diambil oleh pihak Pengurusan Plaza Sutera Biru untuk memberikan kemudahan kepada pelanggan khususnya di daerah ini dengan berbelanja secara sederhana untuk menggunakan kemudahan yang terdapat di kedua-dua bangunan berkenaan,” katanya.

Keahlian kad tersebut terbuka kepada mereka yang mempunyai kad pengenalan dan berusia 12 tahun ke atas, dengan bayaran $50 setahun.

Pemegang kad layak mendapat faedah seperti dua pas percuma bagi kelas kecergasan yang sah untuk tiga bulan sahaja dan $5 bagi setiap sesi kelas kecergasan selepas penggunaan pas percuma, kelas-kelas kecergasan seperti yoga, zumba, spinning, muay thai, tekwondo dan sebagainya.

Manakala bagi keperluan Pawagam Dualplex ialah $3 seorang untuk semua tayangan seperti masa yang dicetak pada tiket.

Tempahan boleh dibuat melalui telefon bagi ahli-ahli tetapi tiket hendaklah diambil 45 minit sebelum tayangan bermula.

Bagi permainan boling, ahli akan diberikan tiga baucar percuma dan sah untuk tempoh tiga bulan sahaja, selain diskaun 10 peratus di Kedai Barang Boling (untuk barangan terpilih) dan dua permainan untuk $5 boleh digunakan dari jam 10 pagi hingga 5 petang, pada hari Isnin hingga Jumaat sahaja.

Banyak lagi faedah-faedah dan keistimewaan yang diberikan kepada pemegang kad selain ditawarkan pembayaran $45 bagi pendaftaran terawal untuk menjadi ahli.

ARTIKEL YANG SAMA