Kadar celik kewangan rakyat Brunei meningkat

Oleh Sim Y.H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Nov – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Timbalan Sultan amat gembira dengan amalan berhemat dan budaya berorientasikan penjimatan rakyat Negara Brunei Darussalam dengan mendedahkan bahawa nisbah pinjaman tidak berbayar bagi isi rumah di negara ini telah menurun kepada 1.9 peratus pada suku kedua tahun 2017 daripada 3.3 peratus pada tahun 2010.

Ini disebabkan oleh beberapa perkembangan pengawalseliaan dan penambahbaikan infrastruktur kewangan di dalam tempoh tersebut. Bagaimanapun, masyarakat yang mempunyai asas pengetahuan kewangan yang kukuh masih diperlukan mengimbangi penambahbaikan berkenaan.

Duli Yang Teramat Mulia selaku Penaung Majlis Kebangsaan Celik Kewangan bersabda demikian pada Mesyuarat Pertama Majlis Kebangsaan Celik Kewangan yang berlangsung di Bangunan Jabatan Perdana Menteri, hari ini.

Bagaimanapun, Duli Yang Teramat Mulia bersabda lagi bahawa satu kajian yang telah dijalankan oleh pihak Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) dengan kerjasama Pusat Kajian Dasar dan Strategik (CSPS) pada 2015, mendapati beberapa jurang yang perlu ditangani.

“Kajian tersebut telah mendapati 34 peratus responden isi rumah tidak mempunyai sebarang bajet dan bagi responden individu, 49 peratus tidak menyimpan secara aktif, manakala 24 peratus lagi memerlukan pinjaman untuk membiayai perbelanjaan harian.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ketika berkenan bersabda pada Mesyuarat Pertama Majlis Kebangsaan Celik Kewangan kelmarin.

“Saya difahamkan bahawa antara tugas-tugas majlis ini adalah untuk menjalankan kajian secara kerap untuk memantau petunjuk-petunjuk penting ini dan mengemukakan atau melaksanakan tindakan ke hadapan yang bersesuaian.”

“Saya berharap melalui usaha sedemikian, kita akan dapat melihat peningkatan yang lebih baik dalam angka-angka ini dan kesan positif terhadap kehidupan rakyat kerana mereka dapat membuat pilihan kewangan yang lebih baik, lebih bermaklumat dan bertanggungjawab,” sabda Duli Yang Teramat Mulia lagi.

Duli Yang Teramat Mulia juga bersabda, walaupun pendidikan kewangan berfungsi sebagai penyelesaian yang berdaya maju, pengetahuan itu sendiri tidak semestinya diterjemahkan ke dalam tingkah laku positif. Ini terbukti berdasarkan kajian AMBD-CSPS yang mendapati rakyat Brunei mencatatkan sikap kewangan yang tinggi tetapi tidak sepadan dengan tingkah laku kewangan mereka.

“Manusia sememangnya mudah didorong oleh firasat yang boleh menyebabkan tingkah laku melulu dan kurang kawalan diri. Oleh itu, di dalam membangunkan strategi celik kewangan negara dan melaksanakan program kesedaran yang meliputi sasaran yang berbeza, kita hendaklah mengambil kira dan menangani aspek-aspek berkaitan hal ehwal tingkah laku dan psikologi.

“Dengan berbuat demikian, kita dapat meningkatkan keberkesanan inisiatif tersebut dan mendorong orang ramai ke arah membuat pilihan yang lebih memberikan manfaat terbaik bagi kesejahteraan serta membina kemapanan kewangan mereka.”

Duli Yang Teramat Mulia juga berkata, penubuhan majlis berkenaan tepat pada masanya untuk membuka perkembangan strategi yang berdaya maju dan bermakna untuk merealisasikan matlamat Wawasan 2035 bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat, khususnya dari segi kesejahteraan kewangan.

Pendidikan celik kewangan melalui set kemahiran dan pengetahuan, tanpa diragui lagi, telah membantu memperkasakan individu untuk membuat keputusan bijak dan berkesan terhadap sumber kewangannya.

Sabda Duli Yang Teramat Mulia lagi, “Menurut The Organisastion for Economic and Co-operation and Development (OECD), pendidikan kewangan adalah penting bagi negara maju dan sedang membangun.

“Bagi negara yang sedang pesat membangun, pengguna yang celik kewangan boleh membantu sektor berkenaan memberikan sumbangan yang berkesan kepada pertumbuhan ekonomi sebenar termasuklah pengurangan kemiskinan.

“Manakala bagi negara-negara maju, pendidikan kewangan mampu mempengaruhi pengurusan kewangan individu, misalnya dari sudut simpanan persaraan atau bagi mengelakkan daripada hutang yang berlebihan.”

Perkara berkenaan selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Tahun Baru 2012, yang menekankan amalan berjimat cermat sebagai kunci kepada kestabilan dan kemakmuran, sama ada di peringkat kerajaan, isi rumah mahupun individu sebagai asas kepada ‘survival’ ekonomi negara.

“Sebaliknya, berbelanja besar di luar kemampuan akan membawa kepada tragedi pahit. Oleh itu, memupuk budaya berhemah dan menabung di kalangan masyarakat kita hendaklah dijadikan fokus utama Majlis Kebangsaan Celik Kewangan,” sabda Duli Yang Teramat Mulia lagi.

Duli Yang Teramat Mulia bersabda menyeru Majlis Kebangsaan Celik Kewangan untuk melihat keperluan kepada mengimbangi pendidikan dengan kaedah-kaedah berkaitan dasar seperti peraturan yang bersesuaian atau produk kewangan yang memenuhi keperluan khusus sesetengah kumpulan individu.

“Saya juga mengambil maklum bahawa tidak ada penyelesaian mudah terhadap pelbagai cabaran yang mungkin dihadapi oleh majlis ini dalam usaha mereka. Namun, saya yakin bahawa dengan ketekunan, komitmen dan dengan menanamkan sikap kesungguhan dan keperluan setiap masa, kita akan dapat mencapai matlamat yang ditetapkan oleh majlis ini selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035,” sabda Duli Yang Teramat Mulia selepas menekankan Majlis Kebangsaan Celik Kewangan mempunyai tugasan penting di dalam memupuk masyarakat celik kewangan.